Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan masih belum berpuas hati dengan kemenangan yang diraih oleh The Red Giants yang mengatasi kelab dari Indonesia, Persib Bandung 3-0 dalam saingan Kejohanan Piala Cabaran Antarabangsa di Stadium Shah Alam.

Sathia menyifatkan, Selangor seharusnya mampu untuk menjaringkan lebih daripada tiga gol, namun banyak peluang terhidang gagal disempurnakan dengan baik.

“Walaupun kami menang, tetapi saya masih belum berpuas hati dengan cara hantaran pemain pemain yang agak lembab dan mungkin kerana cuaca hujan.

“Kami juga banyak mencipt peluang tetapi tidak disempurnakan dengan baik,”kata B Sathianathan.

Taylor Regan membuka tirai gol untuk The Red Giants, sebelum Sandro da Silva melebarkan kedudukan menjadi 2-0 disusuli Syahmi Safari melakar nama selaku penjaring ketiga untuk Selangor.

Secara keseluruhan, Sathia tampak berpuas hati dengan jentera tengah yang dipimpin Brendan Gan, Halim Saari dan Sandro da Silva pada perlawanan ini.

Bagi pengendali Persib Bandung, Robert Albert, kekalahan ini bukan sesuatu kekecewaan untuknya kerana anak didiknya belum ‘panas’ menjelang musim baru.

“Kami baru sahaja berlatih dan tidak terlalu mengharapkan apa apa keputusan pada perlawanan ini.

Selangor akan berdepan Bangkok United yang turut melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Hanoi FC dipentas final pada Ahad.

 

 

- Advertisement -