Juara lima kali, Selangor boleh diibaratkan sudah sebelah kaki ke final Piala FA 2018 setelah membelasah seteru ‘setempat’ PKNS FC 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Ianya Rufino Segovia yang membuatkan pengendali PKNS FC Datuk K.Rajagobal hilang kata-kata apabila penyerang dari Sepanyol itu muncul wira dengan meledak jaringan hatrik pada minit ke-31, 45 dan 56 sebelum jaringan sendiri Azmizi Azmi pada minit ke-65 memastikan bekalan selesa buat Red Giants.

Skuad kendalian Nazliazmi Nasir yang kali terakhir mara ke final ketika mereka muncul juara dengan menewaskan Kelantan pada 2009, akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk aksi timbal balik pada 30 Jun depan.

Sementara itu, lain pula ceritanya dengan skuad juara 2014, Pahang yang seolah sengaja mencari padah apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang PKNP FC di gelanggang sendiri.

Aksi di Stadium Darulmakmur seharusnya memberi kelebihan buat anak buah Dollah Salleh yang melangkah gah ke separuh akhir dengan menewaskan Johor Darul Takzim 3-0 di Larkin, namun sebaliknya berlaku apabila mereka gagal untuk menterjemahkan kualiti permainan yang sama.

Jaringan Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-25 membantu tok gajah bangkit daripada ketinggalan kepada jaringan Sukri Abd Hamid pada minit ke-13 dan kini laluan berliku menanti mereka apabila bertandang ke Stadium Ipoh minggu depan untuk aksi timbal balik.

Pahang pada musim lalu kecundang dalam aksi final, tewas 2-3 kepada Kedah. MUHD AIMAN 

- Advertisement -