Juara bertahan Selangor membuka laluan untuk ke saingan akhir apabila memulakan kempen dengan meraih mata penuh dalam Kumpulan Y dengan membenam PDRM 3-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Selangor yang diperkuat dengan lapan pemain wanita kebangsaan tidak berdepan masalah mengatasi lawan menerusi permainan kemas dan menyerang yang nyata sukar ditangani PDRM.

Penjaring terbanyak Selangor, Fatin Naimah Zaki sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menyumbang dua gol pada minit ke-11 dan 55 manakala Nuramirah Shakirah Zulkifli melengkapkan kemenangan selesa dengan jaringan pada minit ke-58.

Selangor bertemu Kuala Lumpur pada perlawanan kedua untuk memastikan kedudukan sebagai juara kumpulan esok (Khamis, 24 Sept).

Sementara Pahang, antara pilihan ke akhir, juga tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran Pulau Pinang pada saingan pertama Kumpulan X.  Tiga mata penuh Pahang diraih menerusi sumbangan gol hatrik Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-14, 49 dan 51.

Hanis Nadia Onn membuka jaringan pada minit ke-2 menerusi penalti sudut dan Wan Norfaiezah Md Saiuti (minit ke-28) manakala Pulau Pinang, yang membariskan pemain daripada skuad SUKMA negeri, menghasilkan gol menerusi Siti Nur Atika Shaikh Maznan (min 26) dan Siti Nor Arfah (min ke-37).

Jurulatih Pahang Mohamad Sabri Mohamad lega dengan kejayaan merih mata penuh tetapi tetap waspada apabila bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan kedua Jumaat ini.

“Kita tetap hormati Negeri Sembilan biarpun skuad mereka dibarisi pemain muda,” kata beliau.

Pulau Pinang pula tiada pilihan kecuali menang apabila berdepan Negeri Sembilan esok untuk menghidupkan peluang dan memperbaiki kedudukan.

Juara Kumpulan X dan Y akan mara ke perlawanan akhir pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, saingan separuh akhir Lelaki berlangsung esok (Khamis, 24 Sept) dengan membabitkan pertemuan Pahang-Terengganu dan Kuala Lumpur-Perak.

Perlawanan akhir bagi kedua-dua lelaki dan wanita berlangsung pada Sabtu, 26 September ini.

 

WANITA

Kumpulan X:   1. Pahang; 2. P.Pinang; 3. Negeri Sembilan

Kumpulan Y:   1. PDRM; 2. Selangor; 3. Kuala Lumpur

 

KEPUTUSAN 23 Sept

KUMPULAN X: PAHANG 5 P.PINANG 2

KUMPULAN Y: SELANGOR 3 PDRM 0

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN KLASIFIKASI (LELAKI)

Klasifikasi 13-15:         Johor 3 Kelantan 1

Klasifikasi 9-12:           P.Pinang 3 Negeri Sembilan 1 (penentuan penalti)

Klasifikasi 9-12:           ATM 4 Selangor 2 (penentuan penalti)

Klasifikasi 5-8:             Perlis 5 PDRM 3

Klasifikasi 5-8:             Sabah 2 Melaka 1 (penentuan penalti)

- Advertisement -