Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih baru Selangor, P.Maniam percaya pasukan itu mempunyai kualiti untuk tetap memberikan cabaran sengit dalam saingan Liga Malaysia musim depan di sebalik pelbagai isu yang membelenggu persiapan pasukan itu baru-baru ini.

Ketiadaan dana dari kerajaan negeri hampir sahaja memaksa Selangor menarik diri dari saingan musim depan, malah ketidakpastian mengenai masa depan turut membawa kepada penghijrahan ramai pemain tonggak skuad juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Mereka telahpun kehilangan khidmat Pemain Paling Bernilai Liga-M, Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz kepada JDT, ketua pasukan Shahrom Kalam, pemain tengah Hafiz Kamal dan penyerang Abdul Hadi Yahya pula menyertai Perak, Patrick Ronaldinho kembali ke PKNS manakala Azmi Muslim pula berhijrah ke Felda United.

Menjadikan keadaan lebih malang, Andik Vermanshah pula tersisih sehingga Jun depan kerana ACL dan pemain sayap R.Gopinathan pula dijangka meninggalkan pasukan dalam tempoh terdekat.

Justeru untuk menjimatkan kos Selangor tidak mencari pemain-pemain berprofil tinggi sebaliknya menyerap lapan pemain dari skuad Piala Presiden.

ā€œMemahami situasi yang sedang melanda kem Selangor, pihak pengurusan tidak meletakkan sasaran tinggi. Mereka mahu saya bawa pasukan elak dari tersingkir. Tapi saya merasakan kita mempunyai kualiti untuk melakukan lebih baik dari itu.

ā€œMemang kita kehilangan ramai pemain tonggak, tiada nama besar tetapi kita ada pemain-pemain muda yang bersedia menggalas tanggungjawab. Lagipun kita masih ada beberapa pemain berpengalaman seperti Razman (Roslan), Rizal Fahmi, Bunyamin (Omar), S.Veenod dan penjaga gol Khairul Azhan yang mana boleh membimbing pemain muda kita.

ā€œJadi secara keseluruhannya situasi kita tidaklah terlalu teruk, kita tetap ada potensi untuk berikan tentangan dan saya berharap kita boleh tamatkan saingan liga di kedudukan terbaik mungkin,ā€ ujar Maniam yang membawa Selangor muncul juara Piala Presiden pada 2008.Ā 

Untuk rekod, Selangor menamatkan musim 2016 selaku naib juara Piala Malaysia setelah tewas kepada Kedah. Skuad yang dibimbing Zainal Abidin Hassan dan kemudiannya K.Gunalan itu turut menduduki tempat kelima Liga Super, tewas di separuh akhir Piala FA dan tersingkir di peringkat kumpulan Piala AFC. Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā 

- Advertisement -