Aksi pasukan Thailand(hitam) sewaktu menentang Malaysia.

#Populariti bukan perkara utama

#Ke mana hala tuju PSM untuk program pembangunan jangka panjang

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tampil untuk mendesak agar sepak takraw kembali disenarai sebagai sukan teras negara.

Malah beliau menuntut sukan ini dimasukkan kembali ke dalam salah satu acara yang dipertandingkan di Sukan Malaysia 2018 di Perak.

Susulan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menggugurkan sepak takraw, taekwondo dan angkat berat sebagai sukan teras Malaysia, Datuk Ahmad Ismail menjelaskan PSM mempunyai bahan dan laporan lengkap untuk membuktikan sukan itu masih relevan.

Ketika sidang media semalam, Datuk Ahmad Ismail enggan mengemukakan sebarang rayuan, dan akan mengadakan perjumpaan dengan Khairy untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Ahmad menjadikan penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) sebagai asas utama sukan itu semakin popular di Malaysia sekaligus menyangkal keputusan Khairy.

Malah, PSM merasakan hanya perjumpaan dengan Khairy dianggap lebih relevan berbanding Majlis Sukan Negara kerana menganggap organisasi itu bercampur dengan unsur politik.

Samada PSM faham atau tidak, Khairy telah menyatakan mengapa sukan itu digugurkan daripada senarai sukan teras.

Sepak takraw tidak menunjukkan peningkatan prestasi sejak 2006 serta aspek pembangunan yang tidak diberikan tumpuan secara menyeluruh.

Tidak dapat dinafikan ranking Malaysia adalah dikedudukan kedua dunia dibelakang Thailand, namun kedudukan ini bakal berubah apabila beberapa negara baru sudah mula menampakkan taring mereka dipentas antarabangsa antaranya Korea Selatan , Jepun malah Myanmar.

Sepak takraw juga dibeli peluang untuk diserap ke dalam Program Podium dengan syarat utama adalah meraih emas di Sukan Asia 2018.

Samada tidak mendapat sambutan atau liputan, apa perancangan PSM terhadap program akar umbi bagi 2018?

Bagi tahun 2017, selain Piala Emas Khir Johari, hanya Liga Sepak Takraw Remaja Sekolah Terengganu (LSRST) dianjurkan atas inisiatif Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu.

Samada KBS mahupun MSN pastinya mahu melihat pergerakan secara menyeluruh dan seiring daripada PSM bermula daripada peringkat akar umbi sehingga ke pasukan senior kebangsaan.

Mungkin tidak banyak peruntukkan yang diperolehi PSM, namun setidak tidaknya wujudkan kejohanan peringkat akar umbi untuk menarik minat lebih ramai bakat bakat muda untuk dijadikan pelapis.

Seperti sukan sukan lain, Malaysia tidak mempunyai bakat pelapis yang ramai seperti kuasa besar takraw, Thailand yang mampu menganjurkan pertandingan dimana mana peringkat sekalipun.

Apa pun, KBS dan MSN pastinya sudah menilai ketiga tiga sukan ini daripada pelbagai aspek sebelu memutuskan untuk menggugurkan tiga sukan ini sebagai sukan teras negara.

Sebagai pengurusan yang profesional, tidak salah untuk ‘melenting’ demi mendapatkan kebenaran, tetapi pastikan ia disertakan bukti, fakta dan laporan yang lengkap.

Setidak tidaknya melenting dengan cara buktikan sukan yang terlibat sudah mempunyai perancangan jangka panjang termasuk program latihan dan pertandingan di semua peringkat bagi tahun 2018.- OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -