Datuk K.Rajagobal dapat merubah nasib PKNS FC dari sebuah pasukan kelas pertengahan menjadi pasukan pencabar utama dalam saingan Liga Malaysia musim depan.  

Pemain pertahanan, Reuben Kathiripillay yang baru direkrut pasukan itu berkata pengalaman dan reputasi hebat pengendali itu yang pernah membimbing beberapa pasukan elit dalam liga tempatan selain pasukan muda dan senior kebangsaan akan menjadi aset penting buat PKNS mengorak langkah.  

“Beliau antara jurulatih terbaik dalam rantau ini, bukan sahaja saya tetapi saya yakin semua pemain lain turut teruja untuk dapat bekerjasama dengannya. Mungkin ini masa terbaik buat pasukan ini kembali sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam negara, seperti mana zaman kegemilangan di era 80-an dulu,” kata Reuben.

Untuk rekod, pemain yang pernah menyarung jersi Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan Pulau Pinang itu pernah bermain bersama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Rajagobal pada tahun 2011 dan 2012. 

Bagi saingan tahun 2017, PKNS FC menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Premier ketika berbaki dua perlawanan untuk aksi Liga Super menutup tirai.

Tambah Reuben, Rajagobal juga membuat keputusan tepat dengan mengekalkan beberapa tonggak senior antaranya Safee Sali, Khyril Muhymeen, K.Gurusamy, P.Gunalan dan Shahrul Azhar Ture yang diyakini dapat membentuk gandingan mantap bersama pemain muda dan juga pemain-pemain baru.

Selain Reuben, wajah baru lain yang akan memperkuatkan skuad dengan jolokan semut merah itu adalah Rodney Calvin, Qayyum Marjoni Sabil dari Kelantan, Nurridzuan Abu Hassan dan Faizat Ghazali – OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -