rio.2016Oleh Ku Mohd Lufti

Kesatuan Olahraga Malaysia KOM masih belum memutuskan nama atlet yang akan ke Sukan Olimpik Rio menerusi tiket wildcard.

“Masih terbuka lagi kepada semua atlet kerana tarikh tutup untuk menghantar penyertaan adalah 10 Julai. Kita juga belum lagi menentukan sesiapa lagi, kita hanya menghantar Hakimi ke Kazakhstan untuk cuba melepasi had kelayakan ke Olimpik Rio,” kata Datuk Karim Ibrahim.

Slot bagi tiket wildcard hanya akan diisi oleh atlet wanita sahaja selepas atlet lompat tinggi, Nauraj Singh berjaya melayakkan diri secara automatik ke sukan Olimpik Rio Ogos nanti.

Atlet dalam acara pecut antara pilihan dan dianggap berpeluang untuk disenaraikan berdasarkan prestasi semasa di kejohanan kejohanan yang disertai.

Namun Datuk Karim menegaskan, slot tersebut hanya akan diberikan kepada atlet yang benar benar layak sahaja.

Untuk rekod, ketika sukan Olimpik 2012 di London, Malaysia menghantar dua atlet menerusi tiket wildcard, Noraseela Khalid dan Lee Hup Wei.

Kali terakhir atlet olahraga layak secara merit ke Sukan Olimpik pada 2008 menerusi Roslinda Samsu (lompat galah), Yuan Yu fang (20 KM jalan kaki) dan Lee Hup Wei.

- Advertisement -