IMG20160420150024

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail melontarkan cabaran kepada 33 atlet remaja yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SYAC) 2016 pada 23 dan 24 April ini, untuk pulang dengan pencapaian lebih baik berbanding edisi lalu.

Shapawi berkata berdasarkan prestasi semasa, tidak mustahil keputusan lebih baik dapat dilakar kontinjen negara dan mengharapkan penyertaan di SYAC yang akan berlangsung di Thailand akan dimanfaatkan sebaiknya oleh atlet-atlet ini untuk mencari tempat di dalam program Kita Juara.

“Barisan jurulatih telah memberi laporan kepada saya dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia), melihat kepada prestasi semasa di beberapa sirkit tempatan, saya yakin kita boleh dapat pencapaian lebih baik dari 6 pingat emas (tahun lalu), itu menjadi harapan kita dan ini satu cabaran yang saya harap akan disambut baik oleh mereka.

“Kita sedia maklum kejohanan ini adalah kejohanan rasmi di bawah IAAF, jadi sebarang keputusan yang boleh beri kesan kepada pemilihan mereka di dalam program Kita Juara dan sebagainya, akan dipertimbangkan oleh MSN dan KOM melalui jawatankuasa kerja,” jelas Shapawi pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontijen negara ke SYAC di Bukit Jalil, petang tadi.

Untuk rekod, pada edisi-10 tahun lalu, Malaysia yang menjadi tuan rumah menamatkan cabaran di kedudukan kedua keseluruhan di belakang Thailand setelah mengumpul 6 pingat emas, 13 pingat perak dan 12 pingat gangsa.

Pingat emas kontijen negara disumbangkan oleh Asnawi Hashim (100m), Asif Rahman Jiyaudeen (800m) dan Syazwan Ahmad (lompat tinggi) bagi kategori lelaki manakala Intan Sarah Zulkafli (100m lari berpagar), Shereen Samson Vallabout (400m) dan Nor Amy Lieyna Ismail (lompat jauh) bagi kategori wanita.

Sementara itu, Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata jumlah penyertaan yang kurang berbanding tahun lalu yang mana menyaksikan pembabitan 57 atlet, bukan alasan untuk KOM meletakkan sasaran yang lebih rendah dan percaya atlet akan menunjukkan potensi terbaik mereka di SYAC nanti.

“Ini bukan persoalan mengenai kuantiti tetapi kualiti yang mereka miliki dan saya yakin mereka membawa semangat juang yang cukup tinggi bersama mereka, mereka adalah yang terbaik dari yang terbaik. Sebagai menyuntik semangat mereka, saya juga memaklumkan bahawa kita akan beri RM500 kepada pemenang emas, RM300 kepada pemenang perak dan RM200 kepada pemenang gangsa,” ujar Karim.    

Karim berkata antara atlet yang berpotensi untuk menghadiahkan emas adalah Zaimah Atifah Zainudin, Grace Wong Xiu Mei, Lukmanul Hakim Khairul Akmal serta Nurul Fitriyana Abdul Rani.

- Advertisement -