AF_L8715

AF_L8650

Oleh Muhammad Aiman

Syarikat pengurusan fasiliti sukan, Shoot & Score Sdn Bhd yang kini mengambil alih tanggungjawab menguruskan Kompleks Sukan Panasonic (KSP) di Shah Alam, berhasrat menjadikan kompleks itu sebagai ‘one stop centre’ bagi pelbagai jenis sukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Yani Ismail, kompleks sukan itu yang sebelum ini diuruskan Perbadanan Stadium Malaysia mempunyai pelbagai fasiliti seperti padang bolasepak, gelanggang futsal, badminton, sepaktakraw, kolam renang dan dewan serbaguna lantas menjadikannya sebagai venue cukup ideal untuk orang ramai bersukan sambil beriadah.

“Idea kita cukup mudah, kepuasan pengguna menjadi keutamaan. Di samping berniaga, kita juga cukup mesra pelanggan, tidak mahu terlalu rigid dengan perniagaan sebab kita tahu tanpa pelanggan, kita tidak ada di sini.

“Kita tengok apa pengguna hendakkan, di sini parking senang, tidak perlu bayar, kafe ada, untuk lepak, makan, kualiti makanan terjaga, dan selepas ini kita akan usahakan untuk mempunyai skrin besar,” kata Ahmad Yani.

Walaupun mengakui ianya cabaran sukar untuk uruskan sebuah tempat yang berusia lebih 20 tahun apatah lagi membabitkan kos yang tinggi, Ahmad Yani berkata dengan strategi betul dan penambahbaikkan berterusan pada kompleks tersebut, KSP berpotensi menjadi sebuah pusat sukan unggul.      

“Dalam masa singkat kita mengambil alih pada 1 Jun tempoh hari, kita telah bergerak agresif dan telah berjaya penuhkan jadual bagi hujung minggu (sabtu dan ahad) sehingga bulan Disember.

“Sepanjang bulan puasa pula kita telah lanjutkan waktu operasi sehingga jam 2 pagi, dan sambutannya cukup menggalakkan sehingga ramai yang minta kekalkan waktu operasi tersebut kerana padang sini memang agak susah nak tempah. Padang bagus, fasiliti bagus, tandas, surau, tempat mandi semuanya ada, dan seperti saya kata parking juga adalah percuma.

“Apa yang mereka perlu bayar hanyalah sewa dan bebas menggunakan semua kemudahan yang disediakan,” jelas Ahmad Yani yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Southern Tigers Sdn Bhd.

Ahmad Yani ditemui Sports247 dalam majlis berbuka puasa anjuran syarikat itu yang meraikan lebih 100 tetamu, termasuk 20 anak-anak yatim dari rumah Baitul Hidayah baru-baru ini.

Ia kemudiannya disusuli dengan perlawanan persahabatan antara Shoot & Score menentang pasukan gabungan artis antaranya Fizo Omar, Black Mentor, Aweera dan pemain badminton profesional, Mohd Arif Latif.

- Advertisement -