Sepang International Circuit logo-W524H222Tatkala masa depan perlumbaan Formula 1 mnjadi tanda tanya, perlumbaan Moto GP di Litar Antarabangsa Sepang sah akan diteruskan sehingga tahun 2021. Pengerusi Sepang International Circuit (SIC), Tan Sri Azman Yahya mengesahkan telahpun melanjutkan kontrak pemegang hak, Dorna Sports, hari ini.

“Saya percaya kita akan melihat maklum balas yang baik daripada orang ramai. Saya gembira untuk mengumumkannya kerana ini adalah rundingan pertama saya sebagai Pengerusi SIC dan saya harap keputusan ini akan menerima sokongan,” kata Tan Sri Azman Yahya.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata ia tidak sukar meyakinkan kerajaan Malaysia untuk menyokong Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia kerana SIC mempunyai rekod positif dari aspek kehadiran penonton setiap tahun.

“MotoGP bukan sekadar tontonan untuk rakyat Malaysia sahaja, malah menjadi platform bagi bakat baharu negara ini bersaing di kejohanan dunia dan berlumba di laman sendiri. Saya rasa inilah kunci kepada GP Malaysia.

“Pada masa sama, ia bukan hanya perjanjian antara Dorna dan SIC – ia adalah perkongsian yang ada dan sokongan yang diberikan antara satu sama lain, minat bersama yang ada untuk mempromosikan acara ini menjadi lebih baik setiap tahun,” kata Datuk Razlan.

Sementara itu, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata SIC dilihat bukan sahaja sebagai medan untuk perlumbaan Moto GP, malah menjadi platform dalam melahirkan bakat bakat baru di rantau Asia menerusi penganjuran Piala Bakat Asia yang diadakan setiap tahun.

“Kami sudah berada di sini sejak 1999 dan sudah lama bersama. Kami cukup bangga dengan GP Malaysia, jumlah penonton yang semakin meningkat dan penonton yang hebat.

“Dorna bangga memperbaharui kontrak ini untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi. Cara SIC memahami dan menyokong perlumbaan ini sangat penting. Di sini, penganjurannya cukup baik dan kami cuba melakukannya bersama. Kami bangga SIC menganggap kami sebagai aset,” kata Ezpeleta.

- Advertisement -