Oleh Muhammad Aiman

Sebelum musim bermula, Kelantan antara pasukan yang dilabel bakal menjadi pasukan belasahan dek pelbagai kemelut yang menghambat mereka sehingga hampir sahaja membuat keputusan menarik diri dari Liga Malaysia.

Namun, skuad bimbingan Zahasmi Ismail menolak ketepi segala isu di luar padang dan membuktikan betapa ianya silap besar jika cabaran mereka dipandang enteng, setelah melakar kemenangan kedua dari dua perlawanan dengan menewaskan Felda United 2-1 di gelanggang lawan.

Menariknya, kemenangan pertama mereka sebelum ini turut terhasil di gelanggang lawan apabila mereka menundukkan PKNS Selangor di Stadium Shah Alam, yang mana dianggap Zahasmi sebagai suntikan semangat bagi meneruskan rentak positif.  

“Walaupun tahap kompetitif kita sedikit terjejas apabila hanya bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga minggu berbanding Felda empat perlawanan, pemain memastikan rentak permainan mereka tidak terganggu, malah menunjukkan karakter dan keinginan yang cukup tinggi untuk menang.

“Mereka tampil dengan mental yang cukup kuat dan ini saya anggap sebagai sesuatu yang menakjubkan. Felda United adalah naib juara liga, malah tahun lepas kita tewas di gelanggang ini jadi sudah tentunya ini menunjukkan bahawa pemain-pemain berada di dalam mood dan motivasi yang baik untuk harungi saingan musim ini,” ujar Zahasmi.        

Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar muncul wira The Red Warriors apabila meledak jaringan kemenangan seminit sebelum tamat permainan sekaligus menoktahkan badi sembilan perlawanan tanpa kemenangan ke atas skuad The Fighters.

Kedua-dua pasukan sebelum itu dilihat hampir pasti berpuas hati dengan satu mata setelah jaringan Zahrahan Krangar pada minit akhir separuh masa pertama membantu tuan rumah memadam jaringan pendahuluan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-33.

Sementara itu, bagi Mohamad Nik yang mengambil alih tugas selaku pengendali ekoran pengunduran mengejut Azmi Mohamed, dia yakin barisan pemainnya akan bangkit menunjukkan prestasi lebih baik apabila berdepan Johor Darul Takzim dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Selasa.

“Saya cuma ada dua hari sahaja untuk persiapkan pasukan dan terapkan gaya permainan yang saya mahukan dengan menggunakan pemain yang ditinggalkan Azmi. Jadi tiada apa untuk saya kesalkan dengan kekalahan ini, pemain-pemain telah menunjukkan kualiti permainan yang baik dan saya yakin mereka akan bertambah baik untuk aksi seterusnya.”

- Advertisement -