terengganu-vs-kedah

Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu memutuskan pasukan negeri, Terengganu FA dan adiknya, T Team akan dikekalkan bagi musim 2017.

Ia susulan pencapaian pasukan T Team yang mara sehinga peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum tersingkir di tangan Selangor semalam.

Presiden PBSNT yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman menjelaskan, kedua dua pasukan itu akan diberi sentuhan baru.

“Walaupun gagal melangkah ke final kita berpuas hati dengan corak persembahan dan semangat juang yang begitu tinggi ditunjukkan para pemain sehingga mampu mencapai ke tahap ini.

“Maka saya merasakan pasukan T-Team perlu dikekalkan dan pastikan pasukan ini diberi peluang untuk diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga dan Piala Malaysia tahun hadapan,” kata Ahmad Razif.

Beliau turut menambah pasukan Terengganu akan dirombak keseluruhannya selepas aksi hambar musim ini.

PBSNT dikhabarkan sedang mengadakan rundingan dengan bekas pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim untuk memimpin skuad Penyu musim depan dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam waktu terdekat.

“Dalam masa terdekat ini kita akan memuktamadkan dan kalau kita telah bersetuju saya akan minta beliau (jurulatih) menandatangani segera kontrak jurulatih kerana yang paling penting kita kena dapatkan jurulatih dulu untuk memudahkan pemilihan pemain-pemain yang akan datang,” katanya lagi.

- Advertisement -