Turun bertemu lawan yang sama sekali lagi, Pasukan England B-21 pada aksi ketiga Siri Jelajah United Kingdom 2021, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan tewas 0-2 pada aksi yang berlangsung di Bisham Abbey, hari ini.

Bagi Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan, disebalik keputusan tersebut, beliau melihat pemain telah menunjukkan peningkatan di dalam perlawanan mengikut apa yang dirancang oleh beliau bersama barisan kejurulatihan.

Namun perkara yang paling dibimbangkan iaitu kecederaan dikalangan pemain kini mula menghantui Skuad B-21 negara apabila beberapa tonggak seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Shafie Ishak dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi turut mengalami kecederaan.

“Jika dilihat dalam beberapa perkara, ada penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pemain walaupun kami tewas 0-2. Tetapi kami mahu melihat lebih banyak lagi peningkatan dalam kawasan-kawasan tertentu.

“Saya dapat melihat peningkatan tersebut seperti apa yang kami rancangkan. Namun apa yang lebih membimbangkan untuk kami adalah kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain.

“Beberapa pemain termasuk Akhimullah, Arif Shafie serta Firdaus Rosdi antara yang mengalami kecederaan dan dalam perlawanan hari ini, terdapat seorang atau dua lagi pemain turut mengalami kecederaan.

“Untuk perlawanan keempat, kami mahu pemain terus menunjukkan peningkatan dalam beberapa perkara seperti menjaringkan gol juga di bahagian pertahanan, kami tidak boleh melepaskan gol-gol mudah kepada lawan,” jelasnya.

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Skuad B-21 England menjaringkan dua menerusi gerakan padang pada minit ke-20 dan minit ke-50.

Perlawanan keempat Skuad Remaja Negara akan berlangsung pada awal pagi Jumaat (8 Oktober) jam 2.30 pagi waktu Malaysia melibatkan pertemuan dengan Hampstead & Westminster H.C di Paddington Recreation Club.

 

- Advertisement -