photo – www.sultanjohorcup.com.my

 

 

Malaysia berdepan misi wajib menang apabila turun menentang New Zealand untuk aksi ketiga saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, esok.

Jurulatih skuad negara, Nur Saiful Zaini Nasiruddin percaya kejayaan mengikat pasukan pilihan, Australia 1-1 semalam mampu menjadi motivasi buat anak buahnya bagi merakam kemenangan sulung dalam saingan kali ini.

“Saya mahu pemain menunjukkan peningkatan prestasi apabila menentang New Zealand. Jika mereka boleh menyaingi kekuatan Australia, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh mengatasi New Zealand.

“New Zealand tewas 2-8 di tangan India dalam perlawanan hari ini (semalam). Jadi, kami akan lihat apa kelemahan mereka yang boleh digunakan untuk mengatasi mereka,” kata Nur Saiful.

Pengendali berusia 53 tahun itu, berkata sasaran pasukan untuk menamatkan saingan di kedudukan podium tetap tidak berubah biarpun baru mengutip satu mata selepas dua perlawanan.

Malaysia tewas 2-4 di tangan India dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

“Kami masih ada peluang untuk memburu slot bagi beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. Jadi, kami perlu pastikan mengumpul mata maksimum dalam baki tiga perlawanan bermula dengan New Zealand,” katanya.

Sementara itu, jurulatih New Zealand, Bryce Collins mahu barisan pemainnya menjadikan aksi bertemu Malaysia sebagai medan kebangkitan selepas kekalahan besar 2-8 di tangan India.

“Kami akan menggunakan rehat sehari esok (hari ini) untuk mengkaji permainann Malaysia. Kami memang teruja untuk menentang Malaysia dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang menarik,” katanya.

Sebelum tewas di tangan India, New Zealand turut gagal mengutip mata apabila tunduk kepada Great Britain 0-2 dalam aksi pembukaan Sabtu lalu.

- Advertisement -