20160528 - Liga KPM B14 SSM Bukit Jalil(red) vs SSN Kelantan-003

Oleh Muhammad Aiman

SSM Bukit Jalil tidak mahu cuti panjang selama hampir tujuh minggu merencatkan momentum mereka dalam saingan Piala Menteri Pelajaran Malaysia (B-14).

Jurulatih pasukan pendahulu Liga Super itu, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata barisan pemainnya kekal fokus dan komited meskipun berlatih di waktu malam sepanjang bulan Ramadhan ini.

Wan Rohaimi bagaimanapun menegaskan masih terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki agar rentak positif dapat diteruskan pada baki saingan liga seterusnya menghadapi Kejohanan AFC di Brunei juga pada bulan depan.

ā€œPemain-pemain telah menunjukkan kualiti yang ada pada mereka untuk membolehkan kita berada di kedudukan pendahulu. Bagaimanapun, sebelum liga berhenti rehat, kita telah kenalpasti banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki terutama disiplin masa bertahan, penguasaan bola, dan sentuhan penyudah.

ā€œDisiplin ketika bertahan bermaksud pemain perlu tahun bila perlu man mark, bila perlu cover, dari segi penguasaan bola pula saya masih belum puas hati kerana pemain-pemain masih lagi cepat hilang bola jadi saya telah gunakan waktu rehat panjang ini dengan aktiviti yang boleh tingkatkan tahap penguasaan bola.

ā€œSentuhan penyudah juga masih lagi sangat lemah kerana setiap perlawanan kita cipta lebih daripada lima peluang pasti gol tapi tindakan penyudah yang lemah menyebabkan kita sekadar mampu seri beberapa perlawanan sebelum ini. Jadi, kita telah cuba perbaiki semua kelemahan ini harapnya ia dapat diatasi apabila liga kembali bersambung nanti,ā€ katanya.

Untuk rekod, selepas sembilan perlawanan SSM Bukit Jalil mendahului saingan Liga Super dengan 18 mata, satu mata mengatasi pasukan tangga kedua SSM Tunku Mahkota Ismail dan empat mata mengatasi SMK Bukit Nenas.

Perlawanan pertama bagi SSM Bukit Jalil sebaik liga kembali bersambung pada 16 Julai depan adalah menentang pasukan tangga ketujuh, SMK Syed Hassan dari Perlis di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Ketika pertembungan antara kedua-dua pasukan di pusingan pertama, SSM Bukit Jalil mencatat kemenangan 2-0.

Perlawanan lain akan menyaksikan SSM Tunku Mahkota Ismail berdepan SMK Seksyen 11 (Selangor), SMK Tabuan Jaya menentang SMK Bukit Nenas dan SMK Putera yang masih mencari kemenangan pertama akan berdepan SMK Seberang Temerloh.

Saingan juga tidak kurang hebatnya bagi aksi Liga Perdana B-14, di mana hanya enam mata memisahkan antara pasukan tangga pertama dan tangga keenam.

SSM Pahang menerajui liga dengan 16 mata, diikuti SMK Gunung Rapat dari Perak dengan 15 mata dan SMK Tun Hussein Onn (Johor) dengan 14 mata.

SSM Pahang berpeluang menjarakkan kedudukan dari dua pencabar terdekat mereka itu di mana mereka akan turun menentang pasukan tangga kedua tercorot SMK Seri Titiwangsa di gelanggang sendiri, manakala SMK Gunung Rapat dan SMK Tun Hussein Onn bertemu sesama sendiri di Ipoh.

Dalam perlawanan lain, MSS Putrajaya akan berdepan SMK Tunku Anum dari Kedah dan SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah) akan melayan kunjungan SMK Seri Kota (Melaka).

- Advertisement -