Sukma XVII Perlis 2014 LogoKUASA berbasikal SUKMA, Terengganu berharap latihan pusat sejak sebulan lalu di Chieng Rai, Thailand, akan dapat memenuhi sasaran empat pingat emas yang diharapkan daripada acara itu.

Dengan menyenaraikan 25 pelumba termasuk tujuh pelumba wanita bagi memastikan penguasaan penuh pada temasya SUKMA XVII di Perlis, minggu depan, ketua jurulatih Syed Mohd Husainie Syed Mazlan berkata, pemenang tiga emas di Pahang 2012, Mohd Nabil Umar Bakri akan mengetuai cabaran negeri itu dalam acara lelaki.

“Dalam acara wanita pula, kami berharap Umi Hamimah Ahmad yang menang dua emas di Pahang, akan membimbing rakan-rakan pelumba lain,” katanya.

Menurutnya, dengan pengalaman yang ada pada kedua-dua pelumba itu, Terengganu yang melahirkan ramai pelumba kebangsaan menerusi temasya SUKMA sejak beberapa edisi lalu, berharap sumbangan atlet berbasikalnya akan dapat membantu pasukan mengekalkan kedudukan teratas dalam carta pungutan pingat keseluruhan.

Terengganu mengumpul keseluruhan 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa pada temasya Pahang 2012 lalu.

- Advertisement -