TERENGGANU terus menguasai carta pungutan pingat pada hari kedua temasya Sukan Malaysia Perlis 2014 (SUKMA XVII) apabila memungut empat lagi pingat emas – kesemuanya dari acara kenu yang berlangsung di Tasik Timah Tasoh.

Selepas unggul di hari pertama, Terengganu kini mengumpul keseluruhan 9 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa untuk berada di depan pencabar terdekat Pulau Pinang yang memungut 3 emas lagi dari gelanggang karate, menjadikan 6 emas, 1 perak dan 4 gangsa.

Wilayah Persekutuan turut mengorak langkah besar apabila memungut empat lagi pingat emas pada hari kedua – masing-masing 2 emas dari kenu dan karate – menjadikan keseluruhan 5 emas, 7 perak dan 3 gangsa untuk berada di tangga ketiga keseluruhan.

Sementara itu, Sabah turut meletakkan nama dalam senarai pemenang emas apabila dua atlet lelaki dan wanita acara berbasikal BMX negeri itu menguasai perlumbaan 400 meter di gelanggang Sungai Batu Pahat.

Pelumba lelakinya, Akmal Abdullah memenangi emas selepas melakukan 52.287 saat untuk mengatasi catatan pelumba Terengganu, Ahmad Syazrin yang mencatat 52.462s, manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Muhamad Ibnu Hasyimie memenangi gangsa.

Sebelum itu, Natasha Soon memulakan hari cemerlang kontinjen Sabah apabila memenangi emas pertama negeri itu apabila menewaskan pelumba Pahang, Siti Aishah Alias manakala pelumba Terengganu, Siti Shahirah Hashim di tempat ketiga.

Seperti diduga, kenu terus menjadi lubuk emas bagi pendayung Terengganu apabila memenangi 4 lagi pingat emas hari ini dengan Nor Azita Ibrahim memenangi emas peribadi ketiganya apabila mengungguli acara 500 meter K1, menewaskan Norfatinah Olleh dari Pahang dan pemenang gangsa dari Wilayah Persekutuan, Aimi Ayuni Azwan.

Nor Adira Ibrahim dan Akmal Idayu Razik menambah emas kedua Terengganu apabila menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan, Aisyah Farhanah dan Aimi Ayuni dalam acara 500m K2, sambil pasangan Johor di tempat ketiga.

Muhamad Syukri Hamzah dan Ahmad Syafik Moha turut menguasai 500m K2 apabila menewaskan pasangan Pahang (Ahmad Rafizal Ayob/Mohd Rozi Bakar) sambil pasangan Perlis (Mohd Amirudin/MOhd Syukri Ramli) menceriakan tuan rumah dengan sebutir gangsa.

Pingat emas keempat Terengganu dihasilkan kuartet wanitanya dalam acara 500m K4 selepas menewaskan kuartet Johor dan Perlis. Begitupun Wilayah Persekutuan menyekat penguasaan Terengganu apabila memenangi dua emas acara 500m K1 dan 500m K4.

Di gelanggang karatedo, Pulau Pinang menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara kata berpasukan wanita (Celine Lee/Khaw Yee Voon/Zoey Wong) dan lelaki (Thompson Hoe/Ivan Oh/Joshua Wong) serta kumite 75kg lelaki (A Levenesswaran).

Wilayah Persekutuan turut cemerlang apabila J Shobana memulakan pungutan emas selepas memenangi acara kumite 55kg wanita, diikuti Syarulniza Abdul Jalil (kumite 61kg wanita) manakala dua emas lagi dihasilkan dari gelanggang kenu menerusi Mohd Khirulniza Salleh (500m K1) dan kuartet 500m K4.

Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang mengutip emas pada hari pertama semalam, gagal menambah pingat emas dan kini mengekori Terengganu, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang dijangka menambah beberapa lagi daripada 13 pingat emas yang ditawarkan dalam acara kenu, karatedo dan berbasikal BMX.

BMX LELAKI3

- Advertisement -