Oleh Ku Mohd Lufti

Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberikan ‘lampu hijau’ oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang memberi perkenan untuk bertanding bagi merebut kerusi utama dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai Presiden.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas delegasi gabungan FAM mengadakan pertemuan yang berlangsung kira kira sejam dengan baginda di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi pagi tadi.

Sultan Johor mahukan sokongan tulen daripada ahli gabungan yang mengharapkan Tunku Ismail menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017 – 2021.

“Tuanku juga bertitah jangan berikan tempoh tertentu, sebaliknya memberikan masa kepada Tunku Ismail bagi melakukan perubahan terhadap bolasepak negara.

“Dengan perkenan Sultan Johor, ahli gabungan FAM beranggapan Tunku Ismail bersetuju menerima pencalonan bagi menyandang jawatan Presiden FAM pada pemilihan yang akan berlangsung bulan depan.”kata Yusoff Mahadi.

14 ahli gabungan FAM hadir pada pertemuan dengan Sultan Johor kecuali Perak, Kelantan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang tidak hadir

Selain Tunku Ismail, turut tersenarai bagi pertandingan jawatan Presiden FAM adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat  dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Senarai akhir pencalonan yang layak bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2017 – 2021 akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Februari depan.

- Advertisement -