Oleh Muhammad Aiman

Dunia bolasepak mungkin tidak pernah menyaksikan drama yang lebih hebat daripada apa yang sedang dipertontonkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Bermula dengan pengunduran presiden, kemelut kewangan dek penaja ‘lari’ sehingga mengakibatkan pasukan bermain tarik tali mahu terus beraksi atau tidak dalam Liga Malaysia, semuanya masih berjalan mengikut skrip walaupun plotnya terpaksa diubah beberapa kali.

Setelah menetapkan 15 Disember, kemudiannya 29 Disember, kini 6 Januari pula tarikh baru ditetapkan persatuan itu menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pagi tadi untuk memuktamadkan keputusan sama ada mahu menarik diri atau tidak.

Pemangku Presiden KAFA, Dato’ Seri Affandi Hamzah berkata secara dasar keputusan yang dipersetujui adalah mahu menarik diri tetapi akan tetap berusaha mencari dana bagi memastikan keputusan sedemikian tidak diambil.

Bagi yang mengikuti secara rapat, sudah tahu apa pengakhiran cerita ini – akan ada penyelamat muncul di saat yang cukup getir, sekaligus menghadiahkan penamat penuh dramatik.  

Tetapi hairan, bagaimana Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) boleh membenarkan sebuah pasukan untuk berteka-teki mengenai status penyertaan sehingga ke 6 Januari, iaitu hanya kira-kira dua minggu sebelum sepak mula musim baru?

Bukankah sepatutnya ada satu ketetapan atau garis panduan, bila tarikh akhir sebuah pasukan perlu mengesahkan penyertaan. Perkara remeh seperti ini masih gagal ditangani, dan ini mereka gelar satu proses ke arah penswastaan?

Apa yang lebih menarik adalah, mesyuarat EGM KAFA juga sebulat suara mencadangkan bekas presiden, Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding jawatan Presiden di Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia ke-53 Mac depan bagi menerajui kepimpinan badan induk itu.

Apakah ini satu tindakan mahu ‘membodek’ Annuar yang sememangnya kalau diikutkan skrip jangkaan ramai, akan menjadi penyelamat yang penyokong semua nantikan?

Syabas KAFA, drama ini boleh dicalonkan untuk memenangi Anugerah Oscar!

- Advertisement -