2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Pingat emas acara individu menjadi sasaran pemain skuash kebangsaan, Mohd Syafiq Kamal di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan membuka tirainya minggu depan.

Pemain berusia 19 tahun itu yang membawa cabaran Kelantan, akan beraksi dalam SUKMA terakhirnya tahun ini justeru mahu menutup pertandingan dengan nota gemilang sekaligus menebus kecewa tewas di perlawanan akhir kepada Sanjay Singh dari Sarawak pada edisi terdahulu di Perlis 2014.

Menambah keyakinannya adalah prestasi bertambah baik yang ditunjukkan selama menjalani kem latihan dan pertandingan selama tiga minggu di New Zealand pada bulan lalu, di mana dia melayakkan diri ke undian utama bagi New Zealand International Classic, Terbuka Antarabangsa Christchurch dan Terbuka Southern NZ.

“Ia adalah pengalaman yang cukup hebat buat saya di New Zealand, ianya antara kem latihan paling lama pernah saya lalui dan saya banyak belajar perkara-perkara baru menerusi sesi latihan dan pertandingan menentang pemain-pemain yang berbeza di sana.

“Pastinya ia sesuatu yang bagus untuk layak ke undian utama di tiga kejohanan bertaraf tinggi, tapi dalam masa sama masih banyak lagi perlu saya perbaiki supaya dapat melangkah lebih jauh.

“Buat masa ini, fokus saya hanyalah SUKMA, memang saya begitu mahu untuk menang emas kali ini setelah begitu hampir untuk melakukannya dua tahun lepas,” ujar pemain itu yang berjaya memperbaiki rankingnya dari 156 ke 147 dunia.

Di Sarawak nanti, Syafiq diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bersama-sama rakan sepasukannya di pasukan kebangsaan yang juga juara tiga kali Terbuka Remaja British, Ng Eain Yow yang akan mewakili Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -