lotto
Pengetua Asrama Darul Falah (ASDAF), Sa’ari Bin Kiban (ketiga dari kanan) menerima bola tajaan LOTTO yang ditandatangani oleh barisan pemain AirAsia Allstars FC & exco PFAM selepas majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur

Oleh Muhammad Aiman

Musim lalu, penjaga gol berpengalaman, Syamsuri Mustafa membuat keputusan keluar dari persaraan dan seterusnya tampil berada pada kemuncak prestasinya bersama Real Mulia FC, namun ia tidak memadai untuk membawa pasukan itu layak ke saingan Liga Perdana, dikecewakan saat akhir oleh Perlis.

Mengharungi musim kedua dalam Liga FAM, kali ini bersama Air Asia FC, bekas penjaga gol kebangsaan itu tekad mahu menebus hampa dan membantu pasukan digelar The Red Jets itu untuk terus terbang tinggi bagi memburu tiket beraksi di saingan Liga Perdana 2017.

Di sebalik usianya yang sudah melepasi angka 35 tahun, Syamsuri yang pernah menyarung jersi Terengganu selama 10 tahun sekali lagi membuktikan kudratnya masih berbisa dengan menampilkan deretan aksi bertenaga dan melepaskan hanya lima gol dalam 11 perlawanan, sekaligus menjadikannya antara tonggak penting kekuatan Air Asia musim ini.

“Saya gembira terus diberi kepercayaan dan prestasi saya juga bertambah baik dari perlawanan ke satu perlawanan. Saya beraksi 11 dari 12 perlawanan musim ini, tidak beraksi ketika seri 1-1 menentang Megah Murni kerana kecederaan. Saya harap boleh kekalkan prestasi cemerlang ini untuk merealisasikan impian pasukan beraksi di Liga Perdana,” katanya. 

Selepas melalui permulaan suram, Air Asia ketika ini berada di tangga keempat Kumpulan A Liga FAM berikutan kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal Faizwan Abdullah ke atas pasukan tangga kedua, MISC-MIFA dalam aksi terakhir sebelum cuti panjang Liga Malaysia selama lebih sebulan.

Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah pasukan milik jutawan penerbangan Tan Sri Tony Fernandes itu kepada enam perlawanan dan Syamsuri berpendapat pasukan itu tetap berada di landasan tepat walaupun mengambil masa untuk menunjukkan potensi.

“Memang kita bermula dengan agak perlahan apabila tewas dua kali dalam lima perlawanan pertama Liga FAM, selain tersingkir awal di Piala FA. Tetapi kami belajar dari kesilapan dan pasukan menunjukkan peningkatan yang cukup baik selepas itu, rakan-rakan sepasukan turut menunjukkan komitmen tinggi setiap perlawanan untuk memastikan kita kembali serlahkan prestasi sebenar.

“Keyakinan di kalangan pemain juga bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan lain, dan sudah tentunya kami mahu teruskan rentak ini menuju ke baki enam perlawanan terakhir bagi memburu tempat di suku akhir, seterusnya mencuba sehabis baik untuk layak ke Liga Perdana,” kata penjaga gol veteran itu.  

Syamsuri ditemui sports247.my pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) – Asiana.my yang meraikan lebih 80 tetamu terdiri daripada anak-anak yatim, saudara baru (mualaf) dan fakir miskin di Asrama Darul Falah (ASDAF), Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Mengenai program ini, Syamsuri berkata, “Ianya satu inisiatif yang baik oleh PFAM dan Asiana untuk membawa pemain-pemain bolasepak terlibat dalam program kemasyarakatan seperti ini. Dalam kita bergembira menyambut Ramadhan dan Syawal yang mendatang, jangan kita lupa pada yang memerlukan. Ianya lebih manis apabila kita dapat berkongsi kegembiraan tersebut.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata ini adalah kali kedua organisasi itu terlibat dengan program kebajikan seperti ini selepas Program Ziarah Ramadhan PFAM membabitkan 10 keluarga di Taman Maluri, tahun lalu.

“Kita bersyukur untuk sekali lagi terlibat di dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik, ini adalah kerjasama antara PFAM, Asiana dan Kindness Malaysia dalam usaha meraikan anak-anak yatim, mualaf dan fakir miskin di ASDAF ini, dan satu daripada tanggungjawab sosial kami di PFAM dan Asiana kepada masyarakat.”

- Advertisement -