TAKTIKAL yang berkesan membuahkan pingat emas buat pelumba Cross Country Olympic (XC) Terengganu, Zulfikri Zulkifli pada temasya Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) di Taman Cabaran Putrajaya, hari ini.

Dalam perlumbaan membabitkan 7 pusingan loop sejauh 4.1km sepusingan itu, pelumba 22 tahun dari Dungun itu menamatkan saingan sejauh 28.7km itu dengan masa 1 jam 30 minit 22 saat, menewaskan pelumba Wilayah Persekutuan (WP), Muhammad Fahmi Khairul dengan kelebihan kira-kira 13 saat.

Pelumba Perak, Muhammad Syawal Mazlin menduduki tempat ketiga untuk meraih gangsa.
Dalam perlumbaan membabitkan 30 pelumba itu, Zulfikri sekadar mengekori Muhammad Fahmi sebelum meloloskan diri pada pusingan kedua, tetapi ditangkap.

ā€œSelepas itu saya sekadar mengekori dan mengikut tempo lawan sebelum meloloskan diri pada pusingan terakhir ketika di laluan mendaki, kira-kira 2km dari garisan penamat.

ā€œSaya gembira dengan prestasi hari ini kerana sejak awal, saya bertekad untuk menang emas,ā€ katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Dalam acara wanita sejauh 20.5km (5 pusingan), pelumba Kedah Phi Kun a/p Pan melengkapkan aksinya dengan pingat emas, selepas memungut dua gangsa dari acara lebih raya dan trek.

Pelumba 19 tahun dari Baling itu mencatat 1:20.44s, menewaskan dua pelumba WP, Nur Deena Safia Nor Effandy (1:24.35s) dan Nurzarina Mohammad Zaki
(1:26.53s).

Dengan tamatnya acara berbasikal Sukma XX ini, Johor yang menyinar dalam acara lebuh raya dan trek, mengungguli carta teratas dengan 11 emas, diikuti Terengganu (9) dan Kedah (5).

- Advertisement -