Sudah hampir empat tahun jaguh bina badan negara, Sazali Samad menjalani penggantungan yang dikenakan ke atasnya oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) kerana gagal ujian doping, tetapi ia tidak sekalipun membunuh semangat dan keghairahannya terhadap sukan itu.

Ia terbukti apabila Olahragawan Kebangsaan 2014 itu yang pernah mengenggam gelaran Mr. Universe sebanyak 10 kali masih lagi aktif menyertai kejohanan-kejohanan berstatus terbuka atas kapasiti peribadi (bukan sebagai atlet kebangsaan), malah lebih mengujakan masih mampu memenangi kejuaraan meskipun usianya sudah mencecah 52 tahun.   

Dengan tempoh penggantungan empat tahunnya tamat pada bulan September depan, mungkinkah Sazali Samad akan membuat ‘comeback’ ke kem Malaysia, sepertimana Datuk Lee Chong Wei yang kembali dari penggantungan lapan bulan pada tahun 2015?

Tidak, itu jawapan Sazali Samad yang menjelaskan pintu hatinya sudah tertutup untuk kembali sebagai atlet kebangsaan setelah apa yang dilakukan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) kepadanya.   

“Hati saya sudah tertutup, layanan yang saya terima serta hukuman yang dikenakan sangatlah tidak adil, mungkin mereka ada tak puas hati dengan saya.

“Saya pun sudah bergerak sendiri sejak tahun lalu dan sudah memenangi tiga atau empat kejohanan. Jadi tidak mungkin saya kembali bersama MBBF, saya lebih selesa dan tenang sekarang walaupun tidak dinafikan berdepan sedikit masalah dari segi kewangan, jadi saya juga perlu aktif mencari penaja.

“Bulan depan (Mei) juga saya akan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Shanghai, saya jaga pemakanan dan amalkan diet yang betul, apa yang saya lakukan ini adalah demi mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan, untuk anak anak,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai duta My Vending Station (M) Sdn. Bhd, iaitu syarikat pengeluar ‘vending machine’ pada minggu lalu.

Sebagai rekod, Sazali didapati positif bahan larangan jenis anabolic ­steroid hasil ujian pada 1 September 2015 yang diwajibkan kepada semua atlet negara yang akan bertanding di Kejohanan Bina Badan Asia di Tashkent, menyebabkannya digantung empat tahun.

Bagaimanapun pada Jun 2018, Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) MBBF membuat keputusan mengejut apabila mengenakan penggantungan tambahan empat tahun kepadanya kerana menyertai Kejohanan Bina Badan Fizik dan Bikini Pertunjukan Sukan Berani China di Shanghai sebulan sebelum itu.

Hukuman itu hanya akan berkuatkuasa selepas tamat penggantungan asal selama empat tahun, yang bermakna hukuman penggantungannya akan diheret sehingga ke 2023.

Sazali Samad bagaimanapun tidak mengendahkan hukuman tambahan itu kerana pada pendapatnya dia hanya menyertai kejohanan itu atas jemputan penganjur, dan tidak mewakili mana mana persatuan. 

Sementara itu, mengenai pelantikan Sazali Samad sebagai duta, Ketua Pegawai Eksekutif My Vending Station, Haziq Nafis Norsaham berkata, ia adalah bagi tempoh tiga tahun dan menyatakan ketokohan Sazali sebagai salah seorang atlet paling berjaya di peringkat dunia adalah sebab mengapa dia dipilih sebagai duta.

“Beliau adalah ikon sukan negara, bergelar jaguh dunia sebanyak 10 kali bukan calang calang pencapaian, jadi kami melihat Sazali sebagai individu yang paling tepat untuk membawa imej kami ke pentas dunia, malah kami juga bersedia menjadi penaja Sazali untuk menyertai kejohanan sebagai menghargai sumbangan beliau,” kata Haziq. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -