Pasukan tempatan Team Sapura Cycling (TSC) muncul juara keseluruhan kejohanan berbasikal Tour De Selangor yang melabuhkan tirai hari ini dengan catatan masa keseluruhan 46 jam 47 minit dan 46 saat.

Tempat kedua pula menjadi milik pasukan berpangkalan di Vietnam, Bikelife Dong Nai dengan catatan masa 46:56:18s manakala kedudukan ketiga keseluruhan menjadi milik satu lagi pasukan tempatan Terengganu Inc TSG Cycling Team dengan masa 47:4:9s.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pelumba TSC, Marcus Culey pula muncul pemenang jersi kuning apabila menjadi pelumba terbaik dengan catatan masa keseluruhan 15:24:13s, serta muncul sebagai raja pecut dan raja bukit pada kejohanan yang dianjurkan buat kali kedua itu.

Seorang lagi pelumba TSC, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff menang jersi putih setelah dinobat sebagai pelumba muda terbaik.

Perlumbaan peringkat akhir dari Klang ke Shah Alam hari ini dimenangi pelumba adik-beradik dari Terengganu Inc TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh dan Mohd Zamri Saleh manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba PGN Road Cycling Team, Shafrifat Nandamulya.

- Advertisement -