IMG-20160331-WA002

Oleh Muhammad Aiman

Pasangan beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying tidak mahu meletakkan sasaran tinggi di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 5 -10 April depan di sebalik kejayaan merangkul kejuaraan pertama mereka tahun ini dengan menjuarai Grand Prix Emas Terbuka New Zealand minggu lalu.

Gandingan emas Sukan Asia 2010 itu lebih selesa untuk tidak meletakkan tekanan ke atas diri mereka untuk mengulangi kejutan yang dilakar di New Zealand apabila mereka menundukkan pilihan utama Ko Sung Hyung/Kim Ha Na di separuh akhir diikuti Zheng Siwei/Li Yinhui untuk mengesahkan kejuaraan namun berjanji tampil dengan aksi terbaik di kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu.

“Ianya bagus untuk kembali menang kejuaraan, sudah tentunya ia motivasi yang baik untuk kami. Kini kami perlu lupakan kemenangan itu dan kembali fokus untuk kejohanan akan datang (Terbuka Malaysia).

“Harapan sudah pastinya tinggi untuk lihat kami ulangi aksi sama seperti di New Zealand, tapi saya rasa kami perlu lebih realistik kerana lawan adalah lebih sukar kali ini. Kami perlu fokus dari satu perlawanan ke perlawanan lain,” jelas Peng Soon.  

Manakala Liu Ying yang masih diganggu kecederaan lutut lama berkata, “Apa yang penting adalah fokus dan berikan aksi terbaik, tidak terlalu fikir tentang sejauh mana kami akan mara. Kami akan berdepan lawan sukar seawal pusingan kedua, jadi jika dapat lepasi halangan pertama itu sendiri saya anggap sebagai cukup baik dan suku akhir mungkin sasaran yang relevan.”

Untuk rekod, pencapaian terbaik Peng Soon/Liu Ying dalam saingan Terbuka Malaysia adalah muncul naib juara pada 2013.

GP Emas Terbuka New Zealand adalah kejuaraan pertama diraih gandingan ini bagi tahun 2016 selepas kempen yang mengecewakan di Terbuka Jerman dan All England Februari lalu, yang mana mereka tersingkir di pusingan awal.    

Kedua-dua pemain ini ditemui pemberita selepas menerima tajaan peribadi dari Daikin Malaysia, yang disempurnakan oleh pengurus besarnya Lawrence Song dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di ibu pejabat Daikin Malaysia, di sini.

Lawrence berkata pihaknya cukup berbesar hati untuk menaja dua pemain ini yang disifatkan berbakat besar dan telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang cukup mengagumkan sejak beberapa tahun lalu untuk melonjak selaku pasangan beregu campuran nombor satu tanah air.  

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia Lawrence Chew yang turut hadir pada majlis itu, berharap ianya akan menjadi suntikan semangat yang terbaik buat Peng Soon dan Liu Ying untuk terus menyinar dan kembali ke prestasi terbaik mereka sepertimana ketika mereka menduduki nombor tiga dunia pada 2013.

“Kita berterima kasih di atas sokongan yang ditunjukkan oleh Daikin. Semoga lebih banyak syarikat akan tampil memberi sokongan dalam bentuk tajaan dan sebagainya. Ini saya harap akan menyemarakkan lagi aksi kedua-dua pemain di atas gelanggang dan menghadirkan lebih banyak kejayaan buat kita.”

- Advertisement -