Terengganu Turtles memastikan kedudukan mereka di tangga kedua Sepaktakraw League (STL) Premier minggu ini tidak terusik apabila mengetepikan seketika kemelut prestasi untuk merakam kemenangan pertama dalam empat perlawanan dengan menundukkan Johor Tigris 2-1 pada Ahad.

Tewas tiga kali berturut-turut sebelum ini, Terengganu Turtles sedar mereka perlu menang jika tidak mahu tergelincir dari persaingan berada di kelompok tiga teratas STL Premier yang menawarkan slot beraksi di STL Champions Cup.

Turun dengan menyandarkan harapan kepada tiga pemain sama yang beraksi ketika kekalahan kepada Selangor Pistons iaitu Irsyad Faiz Aziz-Azwan Muhrim-Ridaudin Ghani, pasukan dari pantai timur itu tampil dengan permainan  agresif dan menang mudah set pertama 21-10.

Begitupun, regu Johor Tigirs gandingan Haidzir Abd Rashid, Razaman Raof-Solehuddin Ab Aziz mengheret perlawanan ke set penentuan setelah memenangi set kedua 21-18.  

Terengganu Turtles yang menjangkakan kemenangan mudah di set ketiga apabila mendahului jauh 10 mata 16-6 bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh Johor Tigris yang berjaya mengecilkan jurang itu kepada hanya lima mata 19-14.

Namun pasukan bimbingan Abu Bakar Yassin itu memperkemas permainan dan menunjukkan kekuatan mental yang hebat untuk menafikan segala peluang buat Johor Tigris menterjemahkan kebangkitan sensasi dengan memenangi set ketiga 21-15.

Menurut Abu Bakar, “Ianya perlawanan yang sangat mendebarkan, rasa seperti terlalu susah untuk capai 21 mata walaupun kita menghampirinya. Apapun lega kerana kita akhirnya menang walaupun tewas tiga kali berturut-turut.

“Bukan mudah kerana kita pertaruhkan pemain sama, tiada simpanan, mereka masih kepenatan namun mereka begitu fokus pada hari ini. Mereka berjaya kurangkan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya, lebih yakin ketika mengambil bola dari Johor Tigris, lebih baik ketika bertahan.

“Saya berharap kemenangan ini akan melonjakkan semula keyakinan pasukan dan kemenangan ini adalah cukup penting untuk kita kukuhkan peluang ke STL Champions Cup, sasaran kita ketika ini adalah kekal di kedudukan nombor dua kerana hendak kejar Penang Black Panthers terlalu jauh.”

Penang Black Panthers ketika ini unggul selaku pendahulu dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan manakala Terengganu Turtles di kedudukan kedua dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan.

Kekalahan buat Johor Tigris menyaksikan pasukan itu kekal di kedudukan tercorot dan berdepan bahaya tersingkir ke Divisyen Satu tahun hadapan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -