PDRM

Oleh Muhammad Aiman

Aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia melabuhkan tirainya pada Sabtu, dengan dua lagi pasukan dari Kumpulan C melengkapkan senarai lapan pasukan untuk beraksi di pusingan suku akhir.

Menariknya, dalam lapan pasukan yang meneruskan kemaraan, tiada kelibat pasukan berstatus bintang Johor Darul Takzim (JDT) yang ditunjukkan jalan keluar setelah sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang finalis Piala FA, PKNS Selangor sekaligus menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan tercorot.

Satu mata yang diraih bagaimanapun memadai buat anak buah E.Elavarasan melonjak ke tangga kedua Kumpulan C dengan lapan mata, dan mara mengiringi PDRM yang menewaskan Perak ke suku akhir.

Aksi di Shah Alam menyaksikan PKNS membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Mathias Jadue, sebelum JDT yang menurunkan hanya barisan pemain tempatan pada perlawanan ini menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Safee Sali pada minit ke-41.

Manakala di Stadium Hang Jebat, jaringan Guilherme De Paula dan Latiff Suhaimi membantu PDRM merakam kemenangan 2-1 ke atas Perak, sekaligus mengecewakan skuad bimbingan Karl Heinz Weigang yang sebelum ini dilihat calon pilihan untuk layak dari Kumpulan C.

PDRM mengumpul 10 mata untuk muncul selaku juara kumpulan dan akan berdepan naib juara Kumpulan B, Kelantan manakala PKNS akan menentang juara bertahan Selangor di suku akhir.

Selangor menamatkan aksi Kumpulan B selaku juara meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur. Jaringan penyerang kebangsaan Hazwan Bakri memadam kelebihan KL yang mendahului menerusi Fahrul Razi Kamarudin dan memastikan Selangor meraih satu mata.

Dalam satu lagi aksi, Pahang sekadar meraih kemenangan moral setelah menang 2-0 ke atas Kelantan yang tidak membawa kesemua pemain utama mereka ke Kuantan.

Gol buat skuad Razip Ismail dijaringkan oleh Faisal Abdul Halim dan Fauzi Roslan.   

Aksi suku akhir yang lain adalah Kedah menentang Negeri Sembilan dan Felda menentang T-Team. Perlawanan pertama dijadual berlangsung 27/28 Ogos manakala aksi timbal balik dijadual pada 17/18 September.

- Advertisement -