Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar berpendapat isu mengenai perubahan tarikh separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan itu dan Johor Darul Takzim (JDT) tidak perlu lagi dipanjangkan.

Hanya beberapa hari selepas redanya isu perubahan venue tuan rumah Felda United dari Stadium Jengka ke Stadium Shah Alam bagi aksi Liga Super menentang JDT oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tanpa persetujuan pihak Felda United sendiri, badan itu kembali menjadi tumpuan apabila menetapkan tarikh separuh akhir pertama pada 15 Oktober.

Mereka sebelum itu telah mencadangkan tarikh 13 atau 14 Oktober kepada pasukan tuan rumah dan walaupun Perak memilih bermain pada 14 Oktober, FMLLP membuat keputusan sendiri untuk ianya dilangsungkan pada 15 Oktober sekaligus mengundang rasa tidak puas hati Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Dengan keputusan itu, Perak akan melayan kunjungan JDT di Stadium Ipoh pada 15 Oktober (Ahad) manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan juara bertahan Kedah bertandang ke Jengka untuk menentang Felda United.

Begitupun, Ahmad Shahrul, bekas kapten skuad kebangsaan menyatakan tiada gunanya perkara ini terus diperdebatkan dan mahu fokus penuh diberikan terhadap persiapan skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic bagi menghadapi aksi getir itu.

“Kami meminta perlawanan dimainkan pada 14 Oktober supaya memberi situasi menang-menang kepada penyokong kami. Ia satu perlawanan yang besar dan kami jangkakan stadium akan penuh. Jadi pada kami, bermain pada 14 Oktober (Sabtu) dan penyokong mempunyai rehat pada Ahad.

“Tetapi FMLLP telahpun membuat keputusan. Kami tidak mahu menjadikannya satu isu, Mehmet juga menerimanya dengan terbuka. Jadi kami akan membuat persediaan yang patut bagi memastikan perlawanan berjalan lancar tanpa masalah.

“Pasukan dalam keyakinan dan motivasi tinggi. Mereka bersedia bermain bila-bila sahaja dan mahu menamatkan perlawanan terakhir di Ipoh bagi musim ini dengan impak cukup besar,” ujar Ahmad Shahrul yang mengetuai pasukan Perak menjulang piala itu buat kali terakhir pada 2000.

Untuk rekod, Perak pernah dua kali menewaskan JDT dalam tiga kunjungan terakhir skuad Harimau Selatan itu ke Ipoh. Mereka mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Super pada 18 Februari lalu serta 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia pada 30 Julai tahun lalu.

Justeru Ahmad Shahrul berharap mereka dapat mengulangi prestasi sama bagi membawa bekalan selesa untuk menghadapi aksi timbal balik. – OLEH MUHAMAD AIMAN

- Advertisement -