Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini secara rasminya mengumumkan barisan kejurulatihan yang akan memimpin Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Lelaki & Wanita) di Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 yang akan berlangsung pada 18 Februari hingga 31 Mac 2022.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal menerusi satu sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM hari ini dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden KHM, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala, telah mengumumkan Megat Azrafiq Termizi selaku Ketua Jurulatih Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Lelaki) sementara A. Kannagi dilantik selaku Ketua Jurulatih Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Wanita).

Bagi Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Lelaki), Dato’ Mirnawan Nawawi dilantik sebagai Pengurus Pasukan sementara di dalam senarai barisan kejurulatihan, Megat Azrafiq akan dibantu oleh tiga Penolong Jurulatih iaitu, Mohd Sufian Mohamad, Baljit Singh Charun Singh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Bagi Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Wanita) pula, A. Kannagi akan dibantu oleh Mohamad Sabri Mohamad selaku Penolong Jurulatih sementara Siti Rahmah Othman dilantik selaku Pengurus Pasukan dan akan dibantu oleh Penolong Pengurus, Wan Mohd Azli Wan Ismail.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Subahan Kamal menjelaskan Pasukan Pembangunan Kebangsaan (Lelaki dan Wanita) akan dipantau dan diselia oleh Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM, En. Paul Revington.

“Penubuhan Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita sudah lama kami fikirkan terutama bagi pasukan lelaki kerana kami sedang mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur.

“Ini juga landasan untuk pemain di peringkat akar umbi terutamanya mendapat peluang untuk beraksi di kejohanan yang kompetitif dan pasukan ini akan mempunyai kesinambungan pada tahun hadapan dan berkait rapat dengan Skuad Remaja Negara serta Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).

“Walaupun ada cakap-cakap diluar sana yang menyatakan dengan menghantar pasukan pembangunan mungkin kualiti yang dimiliki tidak berada di tahap tertinggi, tetapi kami lebih berminat untuk memberikan platform terbaik kepada pemain-pemain muda ini bermain dengan pemain-pemain terbaik di Malaysia.

“Bagi saingan TNB MHL juga, kami mempunyai perancangan yang cukup besar pada tahun hadapan dan ia merupakan perancangan jangka masa panjang,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dato’ Sri Subahan juga berharap penubuhan pasukan ini bukan hanya membuka ruang kepada para pemain untuk menimba ilmu serta pengalaman sebanyak mungkin tetapi juga barisan kejurulatihan yang telah diberikan tanggungjawab untuk membawa skuad pembangunan ini.

- Advertisement -