JARINGAN strok penalti pemain muda Terengganu Hockey Team (THT), Muhammad Arief Syafi Ishak pada minit-minit terakhir suku keempat memastikan kemenangan sengit 5-4 ke atas Maybank pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 di Stadium Hoki Batu Burok, semalam.

Ketika kedua-dua pasukan terikat 4-4 dengan perlawanan berbaki empat minit, THT, yang tiga kali ketinggalan kepada Maybank sepanjang permainan, mendapat penalti pada minit ke-56, dengan Arief menolak masuk untuk memberikan kemenangan mutlak pasukan tuan rumah.

Kedua-dua pasukan nyata mempamerkan corak permainan berkualiti yang menuntut daya fokus yang tinggi.

Biar pun bermain di gelanggang sendiri, THT gagal mengekang kemaraan Maybank yang tiga kali mendahului kedudukan. Penyerang kebangsaan Muhammad Razie Rahim meletakkan Maybank dua kali di hadapan menerusi jaringan minit ke-13 dan 18.

Begitu pun, Faisal Saari menepati status sebagai penyerang kebangsaan berbisa apabila merapatkan kedudukan kepada 2-1 menerusi jaringan dari sudut penalti pada minit ke-26.

Permainan separuh kedua tambah sengit yang menyaksikan tiga gol dijaringkan pada suku ketiga dengan Razie sekali lagi meletakkan Maybank 3-1 di hadapan apabila menemui sasaran pada minit ke-38.

Namun dua gol dalam tempoh dua minit dari Faisal (minit ke-43) dan Muhammad Arief (ke-45) memberikan kelegaan besar pada THT untuk mengikat kedudukan 3-3.

Selang seminit kemudian, sekali lagi, THT terpaksa mengejar dari belakang selepas jaringan penyerang Maybank Amirullah Zainol sebaik bermula suku keempat.

Namun, anak buah jurulatih Roslan Jamaluddin mempamerkan semangat juang tinggi apabila Faisal meraih hatrik menerusi gol minit ke-52 sebelum pemain muda, Muhammad Arief melakar gol kemenangan THT menerusi pukulan strok penalti pada minit ke-56.

Kejayaan itu sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah THT selepas lapan perlawanan dan terus menekan peneraju Tenaga Nasional Berhad (TNB), mengekori rapat dengan 20 mata keseluruhan dengan baki empat perlawanan lagi.

Ekoran kekalahan pada THT, Maybank terus kekal di tangga ketiga, berkongsi dengan UiTM HA, dengan 13 mata keseluruhan.

Pengendali THT Roslan Jamaluddin berkata semangat tidak putus asa yang tinggi merupakan faktor penyumbang kemenangan THT biarpun terpaksa mengejar Maybank dari belakang tiga kali sepanjang perlawanan.

“Pemain sedar kita tidak boleh hilang mata terutama di gelanggang sendiri, lantaran itu mereka mempamerkan daya juang yang tinggi walaupun terpaksa mengejar Maybank beberpa kali,” kata beliau.

“Tempoh rehat agak panjang sebelum perlawanan seterusnya pada 13 Mac ini akan digunakan sepenuhnya untuk memulihkan pemain selain merancang strategi aggresif untuk menang apabila turun menentang UiTM nanti,” kata Roslan.

Dalam pada itu, TNB menang besar 9-0 ke atas National Development Team (NDT) untu kekal menerajui liga dengan kelebihan tipis 21 mata di hadapan pencabar terdekat THT.

Begitupun, TNB terpaksa menunggu hingga minit ke-14 sebelum dapat membolosi gol NDT menerusi Norshafiq Sumantri. Muhammad Amirul Hanif Mamat menyusul enam minit kemudian manakala Muhammad Aminuddin Mohd Zain meledak hatrik dalam tempoh tujuh minit (minit ke-26, 28, 33) untuk membantu kemenangan besar TNB.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melakar gol peribadi kesembilan beliau selepas menyumbang dua gol (minit ke036, 43) sebelum Mughni Mohamad Kamal (minit ke-50) dan Faiz Helmi Jali (minit ke-52) melengkapkan kemenangan besar malam ini.

Sementara itu, perlawanan antara Nurinsafi Sporting dan TNB Thunderbolts terpaksa dibatalkan dan ditunda esok (8 Mac) disebabkan oleh cuaca buruk.

ends

- Advertisement -