MHL (2)
Antara aksi membabitkan Maybank vs UniKL

Oleh Muhammad Aiman

TNB menebus kekecewaan aksi hambar mereka dalam saingan Liga Premier TNB-MHL apabila tampil garang membelasah UiTM-KPT 11-0 di perlawanan pusingan kalah mati merebut Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Pantai (KLHA), pada Selasa.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim itu layak beraksi di suku akhir yang akan berlangsung 30 Ogos depan.

Amin yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti negara nyata lega dengan kemenangan meyakinkan itu selepas barisan pemainnya tewas dua perlawanan awal Liga Premier iaitu 3-4 kepada Maybank dan 0-1 di tangan UniKL.

“Selepas tewas dua perlawanan pertama di saingan liga, saya beritahu pemain bahawa mereka perlu mempamerkan aksi lebih meyakinkan di pusingan kalah mati. Perlawanan hari ini adalah untuk mencari keyakinan semula ke atas setiap pemain terutamanya penyerang.

“Akhirnya mereka melaksanakan tugas dengan baik apabila 10 daripada 11 gol yang dijaringkan adalah menerusi jaringan padang. Setiap pemain melaksanakan tugas dengan baik hari ini dan misi untuk melangkah ke suku akhir juga tercapai,” katanya.

Pada perlawanan itu, TNB mendahului 6-0 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan awal Amir Farid Ahmad Fuzi pada minit ke-8 dan 11, Muhammad Hafiizhuddin Zaidi (m-20), Arif Sabron (m-24), Nik Aiman Nik Rozemi (m-27) serta Ramadan Rosli (m-29).

Fariq Saadon menjadikan kedudukan 7-0 sebaik separuh masa kedua bersambung, diikuti gol kedua peribadi Nik Aiman pada minit ke-43, sebelum Arif melengkapkan hatriknya pada minit ke-52 dan 55 untuk kedudukan 10-0.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menjaringkan gol kesebelas TNB pada minit ke-57.

Sementara itu, satu lagi perlawanan di KLHA menyaksikan UniKL menewaskan Maybank 1-0 sekaligus menyaksikan Maybank satu-satunya pasukan dari Liga Premier yang tersingkir awal.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Selepas kemenangan 1-0 ke atas TNB pada saingan liga, setiap pemain terus mempamerkan aksi konsisten dan akhirnya kemenangan memihak kepada kami,” kata jurulatih Maybank.

Piala Tan Sri P Alagendra – Pusingan pertama kalah mati

Keputusan (23 Ogos)

SSTMI         7                0    SSBJ

Sapura        4                0    Nur Insafi

TNB             11              0    UiTM-KPT

Politeknik Malaysia    3         2       TNB Thunderbolt

MBI              3                3     ATM Airod
(ATM menang penentuan penalti 4-3)

UniKL           1               0      Maybank

- Advertisement -