Khoo Cai Lin
Khoo Cai Lin

Oleh Muhammad Aiman

Perenang muda, Phee Jinq En ada sebab untuk tersenyum dengan pencapaiannya pada hari terakhir persinggahan kedua Jelajah Mare Rostrum di Canet-En-Roussillon, Perancis meskipun gagal berkesudahan podium.

Atlet berusia 18 tahun itu yang bersaing dengan atlet berkelas dunia dalam final A acara 50m kuak dada wanita menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 31.84s, hanya 0.7s di belakang pemegang rekod dunia acara 200m kuak dada, Rikke Pederson.

Pederson meraih gangsa dengan catatan 31.77s tatkala perenang Brazil, Jheniffer Conceicao melakar kejutan memenangi emas dengan catatan 31.34s manakala juara dunia acara 200m kuak dada, Kanako Watanabe dari Jepun meraih perak dengan 31.76s.

Jinq En sebelum itu mara ke final dengan melakukan catatan masa kedua terpantas di separuh akhir, 32.24s di belakang Jheniffer yang merekodkan 31.69s.

Prestasi ditunjukkan di Canet-en-Roussillon ini sudah pastinya suntikan motivasi terbaik buat perenang kelahiran Selangor itu mengintai pencapaian lebih baik di destinasi terakhir Mare Rostrum di Barcelona hujung minggu ini (11 & 12 Jun).

Dia juga sebelum ini memenangi emas 50m dan perak 100m kuak dada wanita di Monaco pada minggu lalu.

Sementara itu, rakan senegara, Erika Kong pula sekadar berkesudahan di tempat ke-18 dalam acara 50m kuak dada wanita setelah mencatat 33.98s manakala Wong Fu Kang menamatkan perlumbaan 50m kuak dada lelaki di tempat ke-24.

Khoo Cai Lin yang masih belum pulih sepenuhnya dari demam pula hanya mampu berpuas hati dengan menduduki tempat ke-21 dalam acara 400m gaya bebas dengan catatan 4:24.64s. 

- Advertisement -