Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Norhayati Almadihah Hashim

Oleh Ku Mohd Lufti

Malaysia membuktikan status mereka sebagai salah satu kuasa besar dalam sukan memanah apabila mengungguli acara berpasukan, Kejohanan Memanah, Siri Pertama Piala Asia yang berlangsung di Thailand semalam.

Trio compound wanita negara, menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Norhayati Almadihah Hashim mengatasi trio Filipina di pentas final dengan keputusan 224-217.

India merangkul gangsa selepas menewaskan tuan rumah, Thailand 228-213.

Kemenangan itu sekaligus menebus kekecewaan trio Compound lelaki menerusi gandingan Zulfadhli Ruslan, Juwaidi Mazuki dan Lee Kin Yip yang gagal meraih emas selepas tewas 227-231 kepada Iran yang juga juara Kejohanan Dunia di pentas final.

Pencapaian pemanah compound negara itu sekali gus menenggelamkan aksi pemanah recurve yang gagal meraih sebarang pencapaian membanggakan di Thailand kali ini.

Sebanyak 199 pemanah dari 26 negara termasuk tiga dari Eropah mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

- Advertisement -