Hajat besar segelintir ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor untuk melihat Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan dalam tempoh terdekat nampaknya tidak akan menjadi kenyataan setelah Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat keputusan menolak usul tersebut.   

Hal ini kerana menurut baginda, Sekretariat Agung FAS mengesan terdapat penipuan dan juga keraguan dalam memorandum yang kononnya ditandatangani 67 kelab gabungan agar EGM diadakan, yang diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

“FAS telah menerima dan mempertimbangkan permintaan Encik Roslin Sharif (Presiden Kelab Bolasepak Frenz United) yang dikatakan mewakili beberapa ahli kelab gabungan meminta EGM diadakan bertujuan untuk memilih seluruh barisan Jawatankuasa Eksekutif baru termasuk Presiden.

“Sekretariat Agung telah menjalankan tugas pentadbirannya dan mempertimbangkan permintaan tersebut. Dalam mempertimbangkan permohonan tersebut, didapati bahawa ia tidak sah. Ini kerana walaupun surat Encik Roslin dikatakan mewakili permintaan 67 kelab gabungan, Sekretariat Agung telah menerima penarikan balik permintaan tersebut daripada beberapa ahli kelab gabungan.

“Selain itu terdapat permintaan yang dibuat oleh ahli kelab gabungan yang tidak sah, ditandatangani oleh penandatangan yang tidak diberi kuasa, serta penandatangan yang muflis. Lebih serius terdapat surat permintaan yang mengandungi tandatangan palsu.

“Selaras dengan Perlembagaan FAS, permintaan untuk mengadakan EGM tidak mencapai kuota yang diperlukan iaitu separuh daripada keseluruhan ahli gabungan. Oleh itu, penganjuran EGM adalah tidak sah. Kami akan memaklumkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia mengenai perkembangan ini,” kata Raja Muda Selangor itu dalam satu kenyataan.

Justeru baginda menggesa semua ahli kelab gabungan untuk bersama-sama berganding bahu dengan baginda, barisan exco dan peminat-peminat untuk menjayakan misi transformasi FAS.

“Kita sudah banyak kehilangan masa maka kita haruslah segera mengorak langkah dan membuat persiapan rapi untuk musim yang mendatang,” kata baginda.

Sebagai rekod RMS mengambil alih tampuk pimpinan dari Datuk Seri Subahan Kamal pada Julai lalu dan baru sahaja tiga bulan berada di dalam pengurusan, secara tiba-tiba ada usaha digerakkan oleh pihak tertentu untuk merombak semula barisan exco atas alasan-alasan yang disifatkan remeh dan tidak munasabah.

Antara alasan yang dikemukakan adalah pelantikan Johan Kamal dan Mohd Izhar Moslim sebagai naib presiden FAS adalah tidak mengikut perlembagaan selain menekankan bahawa hak, peranan dan kepentingan ahli gabungan diketepikan dan ditindas termasuk dengan memecat 55 individu di dalam Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab kukus.

FAS bagaimanapun telah menafikan tohmahan itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -