Fight Island di Abu Dhabi menjadi tumpuan pada awal pagi Ahad. Pertarungan tumpuan bertukar menjadi aksi yang penuh emosi apabila juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menewaskan Justin Gaethje dalam pertembungan berkualiti tinggi selama dua pusingan sebelum mengumumkan persaraan dari Octagon.
Antara perlawanan elit MMA yang terbaik disaksikan dalam pusingan pertama antara kedua-dua pesaing sebelum Khabib berjaya mendapatkan kelebihan dalam pusingan kedua.
Khabib menewaskan menerusi teknik mengunci lawan yang seringkali menjadi senjata utamanya untuk mengesahkan kemenangan.
Sejurus selepas kemenangan itu yang dicapainya buat kali pertama tanpa bapa yang juga merupakan jurulatihnya, Khabib yang berada dalam keadaan penuh emosi, meletakkan sarung tangannya di atas kanvas dan mengumumkan persaraan dari sukan MMA.
“Saya mahu katakan yang hari ini merupakan pertarungan terakhir saya. Tidak mungkin saya di sini tanpa bapa saya.
“Saya berbincang dengan ibu saya selama tiga hari dan dia tidak mahu saya datang bertarung tanpa ayah saya. Tetapi saya berjanji kepada dia yang inilah pertarungan terakhir dan saya tetap dengan pendirian itu.
“Inilah pertarungan terakhir saya,” kata Khabib.
Lain pertarungan menyaksikan bekas juara middleweight Robert Whittaker dan Jared Cannonier mempamerkan aksi mendebarkan selama tiga pusingan yang penuh dengan gerakan pantas dan berkualiti tinggi.
Whittaker berjaya menyerap serangan tendangan ke arah kaki dari Cannonier dan akhirnya berjaya melakukan kombinasi baik ke arah kepala lawan untuk menerima keputusan mutltak dari panel pengadil.
“Sejujurnya, saya bersyukur kerana dapat berkerja dalam situasi dunia sekarang. Segalanya amat profesional dari apa yang UFC sediakan, saya cukup-cukup bersyukur,” kata Whittaker.