sgor-tteam

Oleh Muhammad Aiman

Pemain pertahanan, Ugokchukwu Ukah memastikan Selangor semakin hampir untuk melangkah ke final apabila jaringannya 10 minit sebelum tamat permainan memberikan skuad juara bertahan itu kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Shah Alam, Selangor terlebih dahulu ketinggalan kepada jaringan Patrick Cruz apabila pemain itu menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh setelah Bunyamin Omar mengasari Safawi Rasid pada minit ke-22.

Diiringi sorakan lebih 2,000 penyokong, The Titans tampil lebih bersemangat memburu tambahan jaringan namun ketiadaan penyerang utama Dilshod Sharafetdinov yang menjalani penggantungan perlawanan jelas memberi kesan kepada sentuhan penyudah skuad bimbingan Rahmad Dermawan itu.  

Selangor kembali dalam permainan, apabila penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri melepaskan rembatan cantik menewaskan penjaga gol T-Team pada minit akhir separuh masa pertama untuk mengikat kedudukan 1-1.

Ukah kemudiannya meranapkan hasrat T-Team membawa pulang keputusan seri ke Kuala Terengganu apabila menanduk masuk hantaran pemain Indonesia, Andik Vermanshah sekaligus memberikan kelebihan buat skuad K.Gunalan bagi menghadapi aksi timbal balik pada 15 Oktober depan.

Sebelum ini dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung Jumaat, Kedah turut membawa bekalan tipis bagi menghadapi perlawanan kedua setelah membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Alor Star sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan berada di laluan tepat untuk mengulangi aksi final 2015.

Musim lalu, Selangor menewaskan Pahang di separuh akhir dan menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 dengan membenam Kedah 2-0 di final menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan.   

- Advertisement -