2016_Sukma_Games_LogoOleh Ku Mohd Lufti

Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan akan dijadikan Perkampungan Sukan untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang akan dianjurkan Sarawak dari 17 hingga 31 Julai ini.

Unimas akan menjadi ‘rumah’ kepada lebih 5,000 atlet yang dijangka tiba di Sarawak untuk menyertai temasya sukan berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.

Beliau berkata atlet daripada 15 kontinjen negeri dan Brunei, yang menyertai temasya itu sebagai pasukan jemputan, akan tiba di sini secara berperingkat, bermula 15 Julai.

Dr Ong berkata kira-kira 1,000 pegawai teknikal akan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan manakala pegawai pasukan akan menginap di dua hotel, iaitu Kuching Hilton dan Hotel Margareta.

Malah, kesemua venue kini di fasa akhir seperti pemasangan sistem bunyi, paparan papan dan sistem pencahayaan di beberapa venue, sementara gelanggang lain telah siap lebih awal daripada jadual.

“Setakat ini, kami berpuas hati dengan tahap persiapan di venue-venue pertandingan di Kuching, Sibu dan Miri,” kata Dr Ong.

 
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Abdul Ghani, sebelum ini mengumumkan, kerajaan negeri membelanjakan RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan sedia ada serta membina beberapa venue baharu untuk temasya sukan berkenaan yang akan diadakan di Kuching, Sibu dan Miri.

Kebanyakan venue dan kemudahan sudah sedia untuk digunakan, termasuk stadium utama (Stadium Sarawak) yang akan menjadi gelanggang bagi acara-acara utama.
Sukma ke-18 akan mempertandingkan 24 jenis sukan antaranya – akuatik, memanah, olahraga, badminton, tenpin boling, berbasikal, bola sepak, hoki, karate, boling padang, pelayaran, menembak, silat, skuasy, sepak takraw, golf, petanque dan tenis.

Dr Ong berkata antara sukan yang akan bermula awal ialah bola sepak, gimnastik berirama, taekwondo dan karate.

Sarawak yang muncul juara keseluruhan edisi 1990, 1992 dan 1994, telah menyatakan hasrat untuk merampas kembali kejuaraan tersebut pada temasya kali ini.

- Advertisement -