eli_1398

eli_1058

Oleh Muhammad Aiman

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing mendominasi acara olahraga dan renang di Kejohanan Olahraga dan Renang  Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM)  2016 yang berlangsung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, pada 7-9 Oktober lalu.

Pelari pecut ‘wildcard’ Olimpik Rio 2016, Zaidatul Husniah Zulkifli mengetuai pungutan emas bagi UPM apabila mengubati kekecewaannya di Terbuka Malaysia sebelum ini dengan menyapu tiga emas dalam acara 100m, 200m, serta 4x100m.

“Kejayaan ini mengubati kekecewaan saya yang terlepas pingat emas kepada S.Komalam (Shally) dalam 100m di Terbuka Malaysia seminggu yang lalu,“ kata pelari kelahiran Kuala Nerang itu yang turut beraksi hambar di Brazil apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan tercorot.

Menurut ketua jurulatih, Khairul Zaini Zainan kontijen UPM yang membariskan 34 atlit menguasai acara olahraga itu dengan pungutan 19 emas, 8 perak dan tiga gangsa hasil program jangka panjang sekaligus menyaksikan mereka kekal mendominasi sukan itu sejak 1997.

“Sebenarnya ramai atlit kami mengalami kecederaan  semasa menyertai Terbuka Malaysia pada minggu lalu, namun ketiadaan mereka tidak begitu dirasai berikutan kehadiran atlit pelapis kebangsaan dan universiti.

“Kami melaksanakan strategi tiga lapis dengan menyediakan tiga kategori atlet iaitu senior, pelapis kebangsaan dan pelajar yang dicungkil bakat daripada kejohanan sekitar kampus bagi memastikan kelangsungan program olahraga di UPM,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu turut menyaksikan UM mendominasi acara renang dengan 28 pingat emas, 8 perak dan 12 gangsa. 

Ketua kontinjen, Norsham Abdullah menyifatkannya sebagai pencapaian terbaik buat kontinjen UM yang dibarisi 15 atlit renang.

- Advertisement -