IMG20160506104350

Oleh Muhammad Aiman

Bekas penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian menjadi antara individu terbaru yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga tiket dan juga pemansuhan tiket kanak-kanak bagi aksi final Piala FA antara Johor Darul Takzim dan PKNS Selangor yang akan berlangsung pada 14 Mei depan.

Jamsari yang pernah beberapa kali merasai kehangatan aksi final Piala Malaysia dan Piala FA ketika mewakili Selangor dan MPPJ Selangor, berkata keputusan menaikkan harga tiket kepada RM50 hanya akan membebankan penyokong dan membuatkan mereka tawar hati untuk ke stadium.  

“Jika saya membawa tiga orang anak bawah umur 10 tahun untuk menyaksikan final, tahun-tahun sebelum ini tidak lebih dari Rm80-90 untuk tiket, tapi jika nak bawa ke final tahun ini, saya perlu belanja Rm200 untuk tiket sahaja. Bukankah ini membebankan? Kalau ada pengisian sekalipun, saya tertanya-tanya apa perlunya mansuhkan tiket kanak-kanak?

“Saya lihat keputusan yang dibuat ini seperti ada yang tidak kena, janganlah membunuh minat kanak-kanak atau mengambil kesempatan kerana ada kepentingan tertentu. Kalau mereka kata telah sediakan pelbagai program atau pengisian, aksi final sebelum ini pun tetap ada pelbagai aktiviti, tapi tiada pula penyokong dibebankan,” ujar Jamsari.

Jamsari ditemui Sports247 selepas hadir pada Majlis Penyerahan Jersi Pasukan Daerah Petaling Liga Sukan Untuk Semua (LISUS) Peringkat Negeri Selangor di 1M4U Sentral, Puchong pagi tadi.

Pertikaian mengenai tiket final Piala FA hangat diperkatakan sepanjang minggu ini, malah turut ditegur oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia setelah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) membuat keputusan untuk hanya menjual satu kategori tiket yang berharga RM50 (berbanding RM40 pada tahun lalu).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam kemudiannya menegaskan harga tiket akan kekal pada RM50 sambil menyangkal dakwaan bahawa FMLLP cuba mengaut keuntungan, selain menjelaskan bahawa pelbagai program telah diatur menjelang sepak mula perlawanan akhir di Stadium Shah Alam itu.

Begitupun, dengan Kevin mengakui bahawa segala bentuk program pengisian yang telah dirancang termasuk konsert dan persembahan artis adalah menerusi tajaan rakan rasmi, ini sekaligus tidak menjawab apa rasional harga tiket dinaikkan dan mengapa tiket kanak-kanak dimansuhkan.

Dalam perkembangan lain, Majlis Belia dan Sukan Daerah Petaling meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan LISUS peringkat negeri Selangor yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Mei.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Petaling, Syed Mashor Wan Mahbar berkata, “Kita telah mengumpulkan bakat-bakat baru sejak bulan Mac lalu jadi kita harap ada peningkatan daripada atlet-atlet ini. Saya yakin jurulatih dan pengurus ada ramuan sendiri untuk membawa kita muncul sebagai juara keseluruhan buat pertama kali,” katanya selepas menyerahkan tajaan jersi dari Tovista kepada pengurus pasukan LISUS.

LISUS, merupakan satu daripada karnival sukan yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, ianya akan berlangsung membabitkan sembilan daerah di Selangor dan mempertandingkan lima acara sukan iaitu bolasepak 9-sebelah, bola jaring, sepaktakraw, serta futsal lelaki dan wanita.

- Advertisement -