Oleh Ku Mohd Lufti

Wakil tunggal negara di Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Switzerland, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei meneruskan saingan ke peringkat suku akhir dalam acara bergu wanita selepas melepasi halangan di pusingan kedua.

Turun berdepan pasangan dari Taiwan, Chiang Kai Hsin/Hung Shih Han, Vivian dan Khe Wei nyata tidak diberi banyak tentangan sebelum mengesahkan slot ke suku akhir.

Pasangan bergu wanita yang diletak selaku pilihan ketiga kejohanan hanya memerlukan 30 minit untuk menutup aksi puisngan kedua dengan kemenangan straight set 21-7, 21-12.

Vivian dan Khe Wei dijadual berdepan pasangan yang diletak selaku pilihan ketujuh dari dari Denmark, Maiken Fruergaard/Sara Thygesen yang dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas gandingan Jepun, Chisato Hoshi/Naru Shinoya.

Maiken dan Sara tewas 15-21 di set pertama namun bangkit dengan kemenangan di set kedua dengan kemenangan 21-19.

Pasangan Denmark ini bagaimanapun dipaksa bertarung hingga ke rubber set sebelum mengesahkan kemenangan 24-22 selepas bertarung selama 72 minit.

Terdahulu, tiga wakil negara, Yap Rui Chen (perseorangan wanita), Muhd Razif Abdul Latif/Muhd Hafiz Hashim dan Ong Yew Sin/Teo Ee Yi (bergu lelaki) gagal meneruskan cabaran selepas tersingkir di pusingan pertama pada Rabu.

- Advertisement -