Musim lalu, Guilherme De Paula menjadi igauan buat pertahanan lawan, dia meledak 27 gol dalam 22 perlawanan Liga Premier bukan saja untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak, tetapi turut memenangi anugerah kasut emas penjaring terbanyak.

Musim ini, penyerang dari Brazil ini yang pernah menyarung jersi Selangor dilabel antara penyerang yang perlu diberi perhatian selain kelibat pemain seperti Jorge Pereyra Diaz (Johor Darul Takzim), Rufino Segovia (Selangor), Tchetche Kipre (Terengganu) dan Gilmar Da Silva (Perak).

Begitupun, tatkala kesemua penyerang yang disebut tadi sudahpun sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Malaysia 2018, De Paula yang turut popular dengan panggilan Wak Doyok masih lagi kebuntuan jaringan selepas tiga perlawanan, iaitu 270 minit permainan.

Kegagalan pemain itu untuk menemui sasaran pada perlawanan menentang Selangor, Negeri Sembilan dan JDT juga sekaligus membuktikan bahawa tahap intensiti dan kompetitif saingan Liga Super dan Liga Premier adalah sangat jauh berbeza.

Begitupun De Paula enggan cepat melatah dan dia percaya saat sukar ini dapat ditangani sebaik mungkin, “Bagi saya ia bukanlah satu tekanan, ini adalah satu situasi yang akan dilalui mana-mana penyerang, ada waktunya semuanya lancar dan baik-baik saja, ada ketikanya kita bergelut.

“Yang penting adalah terus berusaha, tajamkan semula sentuhan penyudah dan gol itu akan hadir tepat pada waktunya. Sudah tentunya apabila dapat menjaringkan gol pertama yang dinanti sejak sekian lama, keyakinan akan bertambah dan gol demi gol akan menyusul.

“Ekspetasi peminat juga tinggi tetapi saya tidak terlalu memikirkan mengenainya kerana walaupun tidak menjaringkan gol, tetap ada sumbangan lain kepada pasukan.”

Setakat ini Kuala Lumpur bimbingan Fabio Maciel menjaringkan hanya satu gol dari tiga perlawanan, iaitu menerusi Paolo Josue ketika kemenangan 1-0 ke atas JDT dalam aksi Liga Super yang berlangsung minggu lalu. OLEH MUHD AIMAN   

- Advertisement -