Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Perak, Karl Heinz Weigang berterusan mengkritik prestasi barisan pemainnya meskipun mereka bekerja keras untuk memastikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Melaka United dalam aksi yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong di Stadium Ipoh, pada Sabtu.

Jaringan kemenangan Vladislav Mitchev pada masa kecederaan membantu Perak melonjak selaku pendahulu bersama Liga Super dengan tujuh mata, namun Weigang yang cukup terkenal dengan kelantangannya menyifatkan aksi ditunjukkan pemain The Bos Gaurus adalah antara terburuk dalam kerjaya kejurulatihannya.

“Saya malu dengan aksi yang ditunjukkan pemain, saya hairan dan tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka. Pasukan ini ada pemain kebangsaan tetapi mereka beraksi dengan cukup buruk, kredibiliti saya sebagai jurulatih tercalar disebabkan corak permainan yang mereka tunjukkan.

Pengendali Perak, Karl Heinz Weigang berterusan mengkritik prestasi barisan pemainnya meskipun mereka bekerja keras
Pengendali Perak, Karl Heinz Weigang berterusan mengkritik prestasi barisan pemainnya meskipun mereka bekerja keras.

“Nasib baik tiada penyokong, kalau tidak teruk kami dimaki hamun. Saya tidak tahu kenapa pemain suka bermain bola hantaran tinggi. Mungkin lepas ini saya boleh suruh mereka pakai sayap untuk terbang tinggi menyambut hantaran lintang,” kata pengendali berusia 80 tahun dari Jerman itu.

Perlawanan Perak dan Melaka United itu berlangsung di stadium kosong setelah Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman tersebut berikutan kekecohan yang tercetus ketika aksi Liga Super antara Perak dan JDT tahun lalu.

Pada perlawanan itu, Perak dua kali mensia-siakan kelebihan hasil jaringan Thiago Junior dan Yashir Pinto apabila membenarkan Melaka bimbingan Eric Williams bangkit menerusi jaringan Jeon Woo Young (1-1) dan Izzaq Faris Ramlan (2-2).

Meskipun menjaringkan gol, Weigang tetap menyatakan rasa terkilan dengan permainan ditunjukkan Vladislav Mirchev dan Yashir Pinto, selain seorang lagi pemain import Faton Toski yang dikeluarkan selepas hanya 45 minit beraksi.

“Saya tidak suka menegur perkara seperti ini (prestasi longlai) banyak kali. Walaupun ada empat import, saya rasa hanya seorang yang memberikan sumbangan. Selebihnya menghampakan, saya tidak tahu apa mereka buat di atas padang,” ujar Weigang lagi.

Aksi skuad The Boss Gaurus yang seterusnya adalah menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 11 Februari depan.    

- Advertisement -