Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini berbesar hati mengumumkan jenama tempatan, Young Tiger Sport tampil selaku penaja baru bagi kelengkapan pakaian Skuad Hoki Dalam Dewan Negara yang bakal ke Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Wanita dan Lelaki 2024.

Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini di mana hadir bersama dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan, En. Shurizan Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Young Tiger Sport, En. Abu Hashim, Naib Presiden KHM, Puan Rogayah Mohamad, barisan kejurulatihan dan pemain Pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan.

Young Tiger merupakan syarikat pengeluar pakaian sukan berpangkalan di Jerteh, Terengganu dan  tidak asing dalam menaja pakaian bagi pasukan Hoki 5s Kebangsaan, Terengganu Hockey Team (THT) serta beberapa sukan lain lagi di negeri Terengganu.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal menjelaskan penajaan kelengkapan pakaian yang telah ditaja berjumlah hampir RM 150, 000 merangkumi kelengkapan lengkap kit perlawanan, kit latihan dan kit perjalanan bagi pasukan lelaki dan wanita.

“KHM berterima kasih kepada jemana Young Tiger Sport, yang telah tampil sekali lagi untuk menaja pasukan hoki di mana kali ini muncul selaku penaja pakaian Pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan.

“Bagi kami di KHM, apabila melihat jenama tempatan, syarikat pengeluar tempatan menyuarakan minat untuk menaja, kami merasakan tidak salah untuk menerima kerana selain kami mendapat manfaat daripada penajaan tersebut, kami turut membantu produk tempatan untuk berkembang luas dan membawa jenama mereka di jersi rasmi pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan.

“KHM berharap jalinan kerjasama seperti ini akan berterusan dan sekaligus membantu usahawan-usahawan muda di Malaysia bagi mempromosikan produk mereka,” ujar Dato’ Sri Subahan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Young Tiger Sport, En. Abu Hashim, beliau menyifatkan langkah yang diambil oleh jenama meraka ini dengan tampil menaja pasukan kebangsaan diharap dapat memberikan inspirasi kepada jenama tempatan lain untuk turut ke hadapan seterusnya membantu arena sukan di Malaysia, khususnya sukan hoki.

“Sebagai jemana tempatan, kami akan cuba memberikan khidmat yang terbaik kepada pasukan kebangsaan. Jenama kami mengambil langkah ini untuk membuka mata pengeluar jenama pakaian tempatan yang lain bahawa syarikat tempatan mampu untuk menyumbang kepada arena sukan Malaysia.

“Di Malaysia terdapat banyak kilang-kilang yang menghasilkan material pakaian yang terbaik malah dieksport kepada syarikat-syarikat lain yang lebih besar. Jadi kami melihat kesempatan yang dimiliki ini digunakan untuk menaja Pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebagai persiapan mental Pasukan Hoki Dalam Dewan Negara menuju ke  Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024, mereka juga menjalani sesi pemantapan pasukan dan sesi motivasi hari ini bersama Pakar Motivasi, En. Perry Khoo serta Penceramah Bebas, En. Amin Idris.

Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 bagi kategori Wanita akan membuka tirai pada 13 hingga 16 Mei 2024 di Chonburi Thailand dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kazakhstan, Iran, Nepal dan Oman.

Sementara Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 bagi kategori Lelaki bakal berlangsung pada 21 hingga 25 Mei 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan di mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan, Indonesia dan Oman.

Untuk rekod, pasukan lelaki negara muncul selaku juara pada edisi lepas selepas menewaskan Iran 3-2 menerusi penentuan shoot-out  sementara pasukan wanita muncul pemenang tempat ketiga menewaskan Kazakhstan, 2-1.

- Advertisement -