muhd-ziyad-zolkefli

Oleh Ku Mohd Lufti

Pemenang pingat emas acara lontar peluru kategori T20, di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, Muhammad Ziyad Zolkefli bakal menerima ganjaran daripada Kerajaan Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan, Ziyad akan menerima insentif wang tunai RM150,000 dan sebuah rumah bernilai RM400,000.

Pengumuman pemberian insentif kepada Ziyad dibuat ketika membentangkan Bajet Selangor 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau berkata pemberian insentif tersebut adalah sebagai mengiktiraf kejayaan anak Selangor dari Gombak itu yang telah mengharumkan nama negara.

“Negara juga berbangga kerana Ziyad telah memecah rekod dunia dalam acara tersebut. Sesungguhnya, kejayaan yang dicatatkan ini membuktikan atlet Selangor berpotensi untuk bersaing dan berjaya di arena antarabangsa,” katanya.

Mohamed Azmin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM14 juta bagi 2017, khusus untuk menaik taraf infrastruktur sukan sedia ada serta program pembangunan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

- Advertisement -