Pemain badminton perseorangan professional, Zulfadli Zulkifli dinasihatkan agar menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengukuhkan peluangnya untuk tersenarai beraksi di pusingan akhir Piala Thomas 2018 yang dijadual berlangsung pada bulan Mei.

Bekas juara remaja dunia itu perlu terlebih dahulu mendapat tempat untuk beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Kedah pada Februari justeru jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei berkata adalah penting untuk pemain itu berlatih bersama pemain-pemain kebangsaan lain dan mengikuti segala program latihan yang telah disusun BAM yang akan membolehkan barisan kejurulatihan menilai sendiri kemampuannya.

“Jika Zulfadli mahu tersenarai beraksi di kejohanan tersebut, dia perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan dan melalui proses pemilihan. Tetapi ia bukanlah jaminan untuk dia dapat tempat kerana kita perlu berlaku adil kepada semua pemain.

“Memang dia pemain yang bagus dan tahap permainan hampir sama dengan pemain kebangsaan yang lain, tetapi dari segi kecergasan dia perlu bekerja keras lagi. Kita tidak boleh memilih sebarangan pemain apatah lagi pemain dari luar skuad.

“Saya telah berbincang perkara ini (memanggil Zulfadli) dengan jurulatih, Datuk Misbun Sidek dan saya percaya barisan kejurulatihan mengalu-alukan kedatangan dia. Kita perlu tengok sama ada dia boleh atau tidak mengikuti program latihan yang disediakan. Di luar dia tidak cukup rakan sepelatih tetapi di BAM, semua ada,” kata Chong Wei.

Apapun, pemain di ranking nombor dua dunia itu berkata ia hanya satu cadangan dan terpulang sepenuhnya kepada Zulfadli untuk membuat keputusan.

Misbun akan menyenaraikan empat pemain perseorangan untuk membawa cabaran Piala Thomas 2018 di Thailand. Dua slot sudah pastinya diisi Chong Wei dan Lee Zii Jia manakala dua lagi slot akan menjadi buruan Zulfadli bersama beberapa pemain lain termasuklah Iskandar Zulkarnain, Lim Chi Wing, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao.

Bagi Sports247, Zulfadli perlu mengetepikan ego dan sikap sombong sekiranya ada dan menyahut peluang ini, membuktikan memang dia mempunyai karakter diperlukan untuk disenaraikan di dalam pasukan.

Apa gunanya Zulfadli, setiap kali diberi kesempatan dan ruang, tidak memanfaatkannya, pergi bertanding di luar negara, sukar melepasi pusingan pertama atau kedua, jika muncul juara sekalipun juara kejohanan bertaraf rendah namun kemudiannya melatah menyalahkan BAM kerana tidak memandang kebolehannya?

Jika benar Zulfadli merasakan dia adalah calon terbaik, maka buktikan sepertimana diminta, tidak perlu lagi mencari alasan, peluang sudah terhidang. Jika anda lebih baik dari pemain sedia ada, sudah tentu satu tiket ke Thailand menjadi milik anda! OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -