zulfadli.6

Oleh Muhammad Aiman

Zulfadli Zulkifli membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung minggu ini atas alasan kepenatan.

Pemain di ranking ke-37 dunia itu sepatutnya membuat penampilan sulungnya di kejohanan yang menawarkan US$300,000 (RM1.4 juta) itu pada Rabu, dengan berdepan pemain Denmark Hans Kristian Vittinghus di Tokyo.

Namun Zulfadli yang menoktahkan kemarau kejuaraan selama lima tahun dengan menjuarai Grand Prix Brazil awal bulan ini sebelum memenangi pingat perak di Kejohanan Universiti Dunia di Russia minggu lalu berpendapat ia adalah keputusan tepat untuk tidak terbang ke Jepun kerana percaya dia tidak akan berada dalam kondisi terbaik.

ā€œBukan selalu saya dapat peluang beraksi di dua undian utama Kejohanan SuperSeries secara berturutan, tetapi saya terpaksa lepaskannya kali ini. Saya dapat merasakan tekanan daripada perjalanan jauh yang diharungi sepanjang dua minggu lepas jadi tiada gunanya mengambil bahagian pada ketika saya tidak dalam keadaan terbaik untuk beraksi.

ā€œSaya juga layak beraksi di undian utama Terbuka Korea yang akan berlangsung minggu depan, tetapi saya turut menarik diri daripada kejohanan itu awal-awal lagi kerana tidak mungkin untuk saya bermain di empat kejohanan secara berturut-turut,ā€ kata juara dunia 2011 itu.

Dengan Goh Soon Huat gagal melayakkan diri ke undian utama setelah tewas di pusingan kelayakan pertama kepada pemain tuan rumah Riichi Takashita, bermakna cabaran Malaysia di Jepun hanya akan digalas oleh pemain nombor satu dunia, Datoā€™ Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainudin bagi acara perseorangan.

Chong Wei akan membuka kempen memburu kejuaraan Terbuka Jepun kelimanya dengan berdepan pemain veteran Thailand, Boonsak Ponsana manakala Iskandar pula berdepan pemain India H.S Pranoy.

Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kembali dalam aksi buat kali pertama selepas memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio De Janeiro bulan lalu.

V Shem- Wee Kiong akan berdepan pasangan Thailand, Bodin Isara-Nipitpon PhuangPuapet manakala Peng Soon-Liu Ying akan menentang Mathee Nottingham-Emily Westwood dari England di pusingan pertama. Ā 

- Advertisement -