100PLUS.latestOleh Ku Mohd Lufti

Seorang suri rumah adalah antara 10 pemenang peraduan ‘100PLUS Dahagakan Bola’ yang menerima hadiah tiket percutian bernilai RM20,000 ke Brazil yang ditanggung sepenuhnya penganjur.

Nurhayati Mohd Noor, 35, berkata beliau hampir tidak percaya ketika dimaklumkan penganjur mengenai kemenangan itu pada Hari Raya kedua, baru-baru ini.

“Saya hanya mencuba nasib, tidak letak harapan untuk menang ke Brazil pun sebenarnya. Tapi selepas diberitahu mengenai tiket itu, memang banyak perancangan sudah difikirkan untuk memanfaatkan kemenangan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyerahan tiket itu, di sini hari ini.

Pada majlis itu, kesemua 10 finalis yang menang dua tiket ke Brazil setiap seorang, turut diberi peluang untuk meraih sembilan lagi tiket ke destinasi sama melalui sepakan penalti.

Sembilan lagi finalis berkenaan ialah Lim Lee Chen, Muhd Hafiz Zazlin Zainudin, Ahmad Faizal Karim, Mustain Mohamad Noh, Lee Bee Hwa, Lee Siew Chee, Mustafa Kamal Daud, Mohd Najjib A Wahid dan Justin Chan Siang Loong.

Pengurus pemasaran F&N Sdn Bhd Leong Wai Yin berkata mereka menerima lebih 200,000 penyertaan dan 10 finalis tersebut dipilih secara rawak daripada 10 kumpulan.

Katanya, peraduan ‘100PLUS Dahagakan Bola’ itu bermula sejak April lalu dan berakhir pada Jun.

“Sambutan sungguh luar biasa, kami gembira kerana berpeluang memberi ganjaran kepada peminat setia 100PLUS dan sahabat mereka untuk mendapat pengalaman yang unik dan sukar dilupakan,” katanya.

Bersempena peraduan itu, 100PLUS juga memperkenalkan siri Botol Kaca Edisi Terhad bagi produk Original 275ml yang memaparkan legenda bola sepak Brazil, Pele dan pemain bola sepak antarabangsa, Oscar.

- Advertisement -