rioPemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green semakin hampir untuk menyambar tiket beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos depan setelah menamatkan aksi di Piala Global Handa ISPS dalam siri Jelajah Golf Jepun di tempat ke-12.

Pemain berusia 22 tahun itu membenam eagle di lubang ke-16 untuk catatan lima di bawah par 66 pada hari terakhir dan menamatkan kejohanan yang berlangsung di Tokinadai Country Club di Ishikawa Prefecture dengan catatan keseluruhan 11 di bawah par 273.

Kejohanan itu dimenangi oleh pemain Korea Selatan, Park Jun Won yang menewaskan pemain Argentina, Emiliano Grillo dalam aksi play-off setelah kedua-duanya terikat dengan catatan 17 di bawah par 267.

Gavin yang bertanding atas tiket jemputan penaja, membawa pulang ¥2.4 juta (RM81,700) dari kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai ¥100 juta (RM3.98 juta) di atas pencapaiannya itu.

Namun lebih penting dia dijangka memperbaiki kedudukan ke-59 ranking Olimpiknya ketika ini memandangkan Jelajah Golf Jepun menawarkan mata ranking lebih tinggi berbanding Jelajah Asia.

Untuk rekod, hanya pemain di kedudukan 60 teratas ranking Olimpik sebelum tarikh akhir kelayakan pada 11 Julai, akan layak beraksi di Rio yang kembali mempertandingkan golf di temasya sukan terbesar dunia itu selepas 112 tahun.  

Selain Gavin, pemain golf nombor satu negara, Danny Chia turut beraksi di Ishikawa namun pemain itu gagal melayakkan diri ke pusingan akhir setelah sekadar melakukan catatan kurang memberangsangkan empat di atas par 146.

Danny berada di kedudukan ke-46 dalam ranking olimpik dan boleh dikatakan sudah sebelah kaki melangkah ke Rio. 

- Advertisement -