Oleh Muhammad Aiman

Setelah beberapa hari menjadi topik khabar angin hangat di media sosial, pemain kebangsaan Zaquan Adha Abdul Radzak akhirnya sah kembali mewakili pasukan Liga Super apabila membuat keputusan menyertai pasukan Perak.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sekaligus menjadikan skuad The Bos Gaurus yang akan dibimbing Karl Heinz Weigang sebagai antara pasukan yang dilihat serba mantap bagi menghadapi musim baru.

Pemain berusia 29 tahun itu antara nama popular arena bolasepak tempatan – dia bersama adik kembarnya Aidil Zaquan menyerlah mencipta nama bersama Negeri Sembilan apabila membantu pasukan itu muncul juara Liga Super 2006 dan Piala Malaysia 2009.

Mereka menyertai ATM pada 2012 dan setahun kemudian disambar Johor Darul Takzim, namun beberapa siri kecederaan akhirnya menyaksikan dua beradik itu dipisahkan buat pertama kali, di mana nama Zaquan diserap ke skuad JDT II bermula 2014.

Selepas tiga musim mewakili JDT II dan berjaya mendapat semula sentuhan sehingga dipanggil semula ke skuad kebangsaan, Zaquan dilihat sedang berada pada prestasi terbaiknya ketika ini dan Perak dilihat membuat keputusan tepat pada waktu tepat.  

Untuk rekod, mereka sebelum ini sudahpun mendapatkan khidmat ramai pemain bintang tempatan antaranya Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dari Johor Darul Takzim, Shahrom Kalam dan Hafiz Kamal dari Selangor, Idris Ahmad dari Felda United dan Nizad Ayub (Sime Darby).  

Beberapa pemain tonggak tahun lepas turut dikekalkan, antaranya Nazirul Naim, Shahrul Saad, Kenny Palraj, Nasir Basharuddin, Ridzuan Azly serta pertahanan import Thiago Junior sementara dua pemain import baru pasukan itu adalah Vladislav Mirchev dari Bulgaria dan Yashir Pinto dari Palestin.    

Perak pada musim 2016 menduduki tangga keenam liga, mara ke separuh akhir Piala FA manakala dalam saingan Piala Malaysia gagal melepasi halangan peringkat kumpulan namun dengan skuad berstatus bintang yang mereka berjaya kumpulkan ini, tiada alasan untuk mereka gagal menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim 2017.

- Advertisement -