Kelibat bekas penyerang sensasi Kelantan, Mohammad Ghaddar mungkin akan dapat disaksikan sekali lagi dalam Liga Malaysia.

Pemain yang turut pernah menyarung jersi skuad juara Liga Super Johor Darul Takzim itu dilihat membuat penampilan bersama skuad JDT II ketika aksi persahabatan menentang PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Sabtu.

Perlawanan itu menyaksikan JDT II tewas 0-3 menerusi jaringan Shafiq Shahrudin, Shahrom Kalam dan Sean Kpah Sherman tetapi ianya kemunculan Ghaddar yang diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Ervin Boban yang berjaya mencuri perhatian ramai.

Ghaddar sememangnya figura cukup popular dalam kalangan peminat bolasepak tanah air malah dia juga sudah mengukuhkan reputasi sebagai salah seorang import paling berjaya dalam liga tempatan sejak ketika dia membantu Kelantan menjuarai treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

Sentuhan jaringan cemerlang pemain dari Lubnan itu yang meledak 18 gol dalam 11 perlawanan bersama Kelantan pada 2017 menyaksikannya dipancing JDT sekaligus menjadikannya pemain termahal Liga Malaysia dengan nilai perpindahan dilaporkan RM1.4 juta.

Ghaddar menambah lima jaringan dan muncul pemenang kasut emas Liga Super tahun tersebut dengan 23 gol malah turut membantu JDT muncul juara Piala Malaysia pertama kali namun tidak dilanjutkan kontrak menyaksikannya kembali menyarung jersi Kelantan buat kali keempat pada 2018.

Masalah dalaman pengurusan ditambah pula dengan kecederaan lutut yang dialami menyaksikan Ghaddar ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ketika pertengahan musim.

Selepas beberapa bulan menyepi, Ghaddar nampaknya sudah bersedia membuat kemunculan semula’ namun status sebenar pemain itu belum diketahui memandangkan belum ada pengumuman rasmi dari pihak JDT II berhubung kehadirannya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -